Anda di sini

Warga emas ditemui mati dalam lori tersadai

Advertisement
Anggota bomba dan polis mengeluarkan mayat lelaki tersebut dari lori.  

SIBU: Seorang lelaki ditemui maut dalam sebuah lori yang diletakkan di tepi jalan di Kilometer 35, Sibu-Jalan Tanjung Manis dekat sini, hari ini.

Mayat lelaki dikenali sebagai Law Siew Liong, 66, ditemui orang awam yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada polis sekitar jam 10.45 pagi.

Pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 4 Sibu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dikerahkan ke lokasi susulan menerima maklumat daripada polis untuk memberi bantuan.

"Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat mayat seorang lelaki dalam keadaan mengiring dan mengeluarkan bau busuk di ruang kaki bahagian kabin lori muatan hampas padi tersebut," katanya.

Wan Kamaruddin berkata, pihaknya membantu mengeluarkan mayat lelaki tersebut sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut. 

"Siasatan awal pihak polis, berdasarkan maklumat orang awam di lokasi kejadian, mendapati lori berkenaan telah berada di situ sejak jam 4 petang Jumaat lalu," jelasnya.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

"Pihak bomba telah memberi bantuan khidmat khas untuk mengangkat mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

  • oleh
  • Advertisement