Anda di sini

Talian hotline banjir perlu diwujudkan 24 jam

Advertisement
 Sebastian (tiga kanan) mendengar taklimat daripada wakil MBM tentang projek menaik taraf Dewan Serba Guna Kampung Lereng Bukit yang tidak memuaskan, sambil disaksikan yang lain.
PANTAU: Sebastian (tiga kanan) mendengar taklimat daripada wakil MBM tentang projek menaik taraf Dewan Serba Guna Kampung Lereng Bukit yang tidak memuaskan, sambil disaksikan yang lain.

MIRI: Talian hotline banjir perlu ‘dihidupkan’ di sini yang akan berperanan mengenal pasti serta melaporkan mengenai kawasan-kawasan yang mengalami banjir pada musim tengkujuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting berkata, bencana banjir tidak mengira masa dan hari ia berlaku sebaliknya penduduk di kawasan rendah perlu bersedia.

“Ada dalam kalangan penduduk tidak menjangka banjir akan berlaku di kawasan mereka bahkan mereka juga tidak tahu saluran untuk dihubungi untuk meminta bantuan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Sebastian berkata, kira-kira jam 1.40 pagi semalam dua keluarga menghubunginya untuk meminta bantuan selepas kediaman pengadu masing-masing dilanda banjir kilat.

“Dua keluarga dari Pujut Tanjung Batu menghubungi saya kira-kira jam 1.40 pagi, saya kemudian menghubungi pihak bomba agar menyalurkan bantuan segera kepada keluarga yang terjejas,” katanya.

Dalam kejadian seperti itu katanya, amat penting talian hotline banjir diwujudkan selama 24 jam bagi memudahkan mangsa banjir menyalurkan maklumat seterusnya meminta bantuan.

“Kita menjangkakan banyak kawasan di Miri akan menghadapi banjir kilat jika hujan lebat turun berterusan seperti kejadian semalam hujun turun selama lima jam,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Sebastian menyerahkan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) bagi menyelesaikan masalah menaik taraf Dewan Serba Guna Kampung Lereng Bukit yang tidak mengikuti piawaian dan spesifikasi.

“Kita menerima aduan bahawa terdapat kekurangan pada projek menaik taraf dewan ini kerana ia tidak mengikut piawaian dan spesifikasi standard yang dimahukan MBM.

“Dinding dewan tidak dicat malah lantainya pula tidak dilapis dengan jubin sedangkan semua itu termasuk dalam kos keseluruhan pembinaan berjumlah RM200,000,” jelasnya.

Sebastian berkata, masalah kontraktor yang tidak mematuhi perjanjian projek asal ini diserahkan kepada MBM untuk tindakan selanjutnya.

Hadir sama Penghulu Samad Ali dan Kauselor Leslie Lau serta pihak ahli jawatankuasa Dewan Serba Guna Kampung Lereng Bukit.

  • oleh
  • Advertisement