Anda di sini

Sisa petrol dikesan pada sampel kebakaran kediaman CEO Cradle

SHAH ALAM: Seorang saksi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa sisa petrol dikesan pada sampel kebakaran yang dihantar untuk dianalisis oleh makmal penyiasatan kebakaran Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Saksi pendakwaan ke-14, pegawai sains di makmal berkenaan, Aznor Sheda Samsudin, 38, berkata pada 17 Jun 2018 pihaknya menerima empat kotak berisi sisa kebakaran yang berlaku di kediaman Nazrin di Mutiara Homes, Mutiara Damansara pada 14 Jun tahun sama daripada pegawai bomba Abdul Halim Zulkefeli.

“Kotak-kotak berkenaan bertanda A,C,D dan E dan di dalamnya terdapat satu beg nylon berisi sisa kebakaran yang diikat menggunakan pengikat kabel.

“Saya kemudian menjalankan analisis terhadap sisa kebakaran berkenaan dengan memanaskan beg nilon itu di dalam ketuhar selama 15 minit pada suhu 90 darjah Celsius supaya proses pengewapan berlaku sekiranya terdapat sisa cecair mudah menyala pada sisa kebakaran.

“Wap yang terhasil kemudian dijerap menggunakan alat ‘Solid Phase Micro Extraction’ dan kemudian diuji menggunakan peralatan ‘Gas Chromatography-Mass Spectrometer’.

Hasil analisis menunjukkan terdapat sisa cecair mudah menyala jenis petrol pada sisa kebakaran di dalam beg nylon bertanda C,D dan E. Sisa kebakaran bertanda A pula tiada sebarang kesan sisa cecair mudah menyala dikesan,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanifah di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Ditanya mengapa beliau menggunakan kaedah berkenaan bagi melakukan analisis itu, Aznor Sheda berkata kaedah berkenaan merupakan kaedah standard yang digunakan oleh mana-mana makmal kebakaran di seluruh dunia bagi mengesan jika ada sisa bahan mudah menyala pada sisa kebakaran.

Beliau berkata beg nylon digunakan dalam analisis berkenaan kerana bersifat lengai dan tidak bertindak balas dari segi kimia apabila dipanaskan.

Tambahnya, beliau kemudian menyediakan satu laporan makmal berkaitan hasil analisis berkenaan dan kemudian diserahkan oleh pembantunya kepada pegawai penyiasat kebakaran.

Samirah Muzaffar, 44, bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh CEO itu.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan. — Bernama