Anda di sini

SFC berharap dapat tubuh Makmal Forensik Hidupan Liar

Advertisement

KUCHING: Sarawak Fo-restry Corporation (SFC) berharap dapat menubuhkan Makmal Forensik Hidupan Liar sendiri dalam masa terdekat ini.

Pengerusi SFC Datu Len Talif Salleh berkata selepas 16 tahun kewujudan sebagai syarikat berkaitan kerajaan, SFC akhirnya migrasi kepada sebuah badan berkanun.

Sejajar dengan migrasi ini, SFC mempunyai lebih banyak latihan intensif dalam aspek semula jadi.

“Seramai 30 pegawai SFC telah menjalani latihan Kursus Penguatkuasaan Pemerdagangan Hidupan Liar selama enam hari pada Ogos lepas.

“Kita berharap untuk me-nubuhkan Makmal Forensik Hidupan Liar sendiri dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap pada Jamuan Ulang Tahun SFC malam kelmarin.

Len yang juga Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar menambah, seramai 60 renjer hutan juga telah dihantar menjalani latihan 30 hari di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching.

Pada Mac lepas, seramai 25 pegawai dilatih selama lima hari mengenai protokol dan undang-udang oleh peguam negeri di Taman Negara Kubah.

Pegawai-pegawai ini dilatih untuk menjadi pegawai penyiasat bagi kerja-kerja penguatkuasaan bagi kes-kes hidupan liar dan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA).

“Kita juga telah menghantar tiga pegawai ke New Mexico di Amerika Syarikat, lima pegawai ke Bogor, Indonesia dan dua pegawai ke Thailand untuk menjalani latihan penguatkuasaan.

“Selain itu, warden taman kita juga telah menjalani kursus eksekutif mengenai Pengurusan Kawasan Terlindung dan Taman Negara di Sarawak pada awal tahun ini.

“Mereka kini dalam peringkat akhir menamatkan kursus yang dianjurkan dengan kerjasama UPM.

“Jadi dalam konteks yang lebih besar, semua latihan ini melibatkan semua peringkat anggota yang akan melengkapi antara satu sama lain dalam pengurusan TPA dan hidupan liar yang lebih baik,” katanya.

Advertisement