Anda di sini

Serbuan berdarah di setinggan Sao Paulo

Advertisement
 Gambar hiasan menunjukkan seorang pegawai polis di kawasan Campinas berhampiran Sao Paulo pada 17 Oktober lalu. — Gambar Reuters
GANAS: Gambar hiasan menunjukkan seorang pegawai polis di kawasan Campinas berhampiran Sao Paulo pada 17 Oktober lalu. — Gambar Reuters

SAO PAULO: Sekurang-kurangnya sembilan orang mati akibat dipijak dan dua orang lagi tercedera pada awal kelmarin dalam kekecohan susulan serbuan polis di sebuah kawasan kejiranan miskin Sao Paulo, menurut pihak berkuasa di sana.

Penduduk mempersalahkan pihak polis kerana menyebabkan rempuhan panik, lapor media tempatan.

Mangsa yang meninggal dunia termasuk seorang wanita, tujuh lelaki dan seorang budak lelaki berusia 14 tahun, Leftenan Kolonel Emerson Massera, seorang jurucakap polis, memberitahu wartawan.

Beliau menyatakan sebuah unit terdiri daripada 38 anggota polis tentera telah melakukan satu operasi di  favela selatan Paraisopolis ketika dua lelaki bermotosikal menembak ke arah kumpulan anggota polis tersebut sebelum melarikan diri ke arah parti jalan raya berhampiran, di mana mereka meneruskan serangan, mencetuskan rempuhan.

Beliau menyatakan kira-kira 5,000 orang menghadiri parti jalanan hujung minggu yang popular di daerah miskin di Sao Paulo dan Rio de Janeiro.

Namun ibu kepada seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang tercedera dalam insiden itu memberitahu laman sesawang G1 bahawa pihak polis harus dipersalahkan.

Beliau menyatakan pihak polis telah menyebabkan rempuhan selepas mereka menutup jalan raya, melontar kanister gas serbuk lada dan menembak peluru getah.

“Seorang anggota polis menyerang anak perempuan saya dengan botol kaca,” menurut wanita itu, yang tidak menyatakan namanya.

Beliau meneruskan lagi: “Semasa saya melihat anak saya, saya tidak dapat mengenalinya.”

“Mukanya calar balar dan kehilangan banyak darah.”

Televisyen Globo menyiarkan sebuah video yang menunjukkan seseorang telah ditendang anggota polis dan menyatakan video itu telah dirakamkan oleh seorang penduduk favela.

Pertubuhan kejiranan Paraisopolis mengecam tindakan polis.

“Awal pagi ini, para belia telah dikepung di lorong dan dibunuh,” menurutnya dalam satu kenyataan di media sosial.

“Kami menuntut keadilan.”

Paraisopolis merupakan salah satu favela terbesar di Sao Paulo, dengan 50,000 penduduk.

Ramai daripada mereka tinggal dalam rumah pondok di sepanjang jalan raya tidak berturap dan hidup dalam keadaan kekurangan perkhidmatan asas.

Penduduk tempatan mempertahankan tarian ‘funk’ sebagai satu ruangan penting bagi golongan muda.

Namun jurucakap polis Emiliano da Silva Neto menyatakan parti sedemikian menjadi penyamaran aktiviti jenayah dan penggunaan dadah haram, sambil menambah, keadaan menjadi di luar kawalan.

Massera menyatakan bahawa ketika pihak polis mengejar dua penembak di jalan raya di mana parti sedang diadakan, mereka telah berdepan lontaran batu dan membalas dengan gas pemedih mata, peluru getah dan bom tangan pegun.

Da Silva Neto menyatakan semua mereka yang terkorban telah dipijak dan tiada yang mati akibat ditembak.

Polis tentera kemudian mengumumkan mereka telah melancarkan satu siasatan. — AFP

Advertisement