DARO: Seorang lelaki ditangkap selepas disyaki merogol anak tirinya sejak lima tahun lalu di rumahnya di sebuah kampung di Pulau Bruit dekat sini pada Isnin.
Kes tersebut hanya terungkai apabila remaja perempuan, 19, terlepas daripada jagaan bapa tiri apabila kini bekerja sebagai pembantu rumah di Bintulu.
Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Neil Beginda berkata, suspek, 45, ditahan di rumahnya sekitar 6.30 petang beberapa jam selepas mangsa membuat laporan polis pada jam 12.22 tengah hari.
"Suspek yang merupakan seorang petani ditahan oleh polis di rumahnya susulan laporan polis dibuat mangsa di IPD Bintulu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, mangsa menceritakan detik hitam yang dilalui sejak dia berusia 14 tahun iaitu ketika dia masih berada di Tingkatan Dua apabila dijadikan alat pemuas nafsu bapa tirinya.
Menurut Neil, mangsa mendakwa dirogol berulang kali di bilik tidur suspek selain di kebun suspek di kampung tersebut sejak 2014.
Malah, katanya mangsa akan diugut tidak akan dihantar ke sekolah ketika itu jika enggan memenuhi kehendak bapa tirinya.
"Perbuatan terkutuk suspek terhadapnya akan berulang, setiap kali mangsa di kampung sehingga awal Oktober lalu," jelasnya.
Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 Disember ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.