Anda di sini

Sarawak siap siaga hadapi musim banjir

Advertisement
Fatimah pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Fatimah pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) menyediakan 17 pangkalan hadapan bagi persediaan menghadapi bencana banjir di seluruh negeri ini.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya sudah melakukan semua persediaan termasuk dari aspek logistik dan keperluan penempatan dan makanan kepada semua mangsa.

Katanya, pangkalan hadapan diwujudkan untuk memastikan bantuan kepada mangsa banjir dapat disalurkan pada kadar segera.

“Kementerian sudah mewujudkan 17 pangkalan hadapan membabitkan kawasan yang berisiko tinggi mengalami masalah banjir di Kuching, Bintulu, Kapit dan Miri.

“Kerajaan menanggung kos keseluruhan berjumlah RM185,980 untuk membiayai keperluan bekalan makanan dan kos pengangkutan mangsa banjir bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) di Bilik Mesyuarat, KWKPK di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.

Fatimah menambah, bekalan makanan asas dan kemudahan lojistik juga disediakan di kawasan penempatan pedalaman.

“Malahan, kita (KWKPK) juga menyediakan perkhidmatan kaunselor kepada warga emas selain merangka beberapa aktiviti untuk kanak-kanak mangsa banjir agar mereka tidak bosan ketika berada dalam penempatan mangsa banjir.

“Ini dilakukan dengan kerjasmama daripada semua agensi berkaitan terutama  dalam mengurus mangsa banjir,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Fatimah menasihati ibu bapa supaya sentiasa mengawasi aktiviti anak-anak bagi mengelak sebarang kejadian malang berlaku ketika musim tengkujuh ini.

“Kita tidak mahu berlaku sebarang kejadian tidak diingini berlaku pada musim cuti sekolah, justeru ibu bapa diminta memantau pergerakan anak-anak mereka,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement