Anda di sini

Projek dan R&D pertanian perlu selari sasaran kerajaan negeri

Dr Abdul Rahman mewakili Uggah semasa tiba di majlis perasmian dan turut kelihatan Pembangku Pengarah Pertanian Sarawak, Dr Alvin Chai (kiri). - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Dr Abdul Rahman mewakili Uggah semasa tiba di majlis perasmian dan turut kelihatan Pembangku Pengarah Pertanian Sarawak, Dr Alvin Chai (kiri). - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Pegawai penyelidikan pertanian perlu memastikan projek serta program penylidikan dan pembangunan (R&D) mereka selaris dengan sasaran kerajaan negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri telah menetapkan untuk mencapai sasaran menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang tahun 2030.

"Kita perlu memperluaskan lagi teknologi pertanian moden dan pada masa yang sama memastikan teknologi-teknologi ini sesuai serta praktikal dengan keadaan iklim tani kita.

"Sebagai pegawai penyelidik, anda perlu memastikan program penyelidikan dan pembangunan serta projek adalah selari dengan sasaran kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan oleh Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail sempena merasmikan Mesyuarat Pengembangan Pegawai Penyelidikan (ROPM) 2019 di sini, hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, kementerian telah mengenal pasti lima tumpuan pertanian sub sektor iaitu, penternakan, perikanan, komoditi, tanaman makanan serta produk dan pemprosesan makanan.

Katanya, antara yang berkaitan, termasuk tanaman makanan seperti durian, nenas, kelapa, pisang, padu dan sayuran sementara bagi perikanan seperti tilapia, ikan siakap, ikan kerapu, udang dan sebagainya.

Beliau berkata, teknologi yang digunapakai harus fokus penggunaan teknologi digital serta pertanian jitu bagi menarik serta menggalakan para usahawan dan belia kita berminat untuk mencebur bidang pengeluaran makanan serta rantaian bekalan sepanjang proses.

"Sarawak kaya dengan biodiversiti, sumber air yang banyak, sumber marin yang besar dan keluasan tanahnya.

"Untuk makluman, kita mempunyai kira-kira dua juta hektar tanah yang berpotensi untyk pertanian, 150,000 hektar water bodies dan 1.7 juta hektar tanah gambut, yang belum diteroka," katanya.

Sehubungan itu kata Uggah, terdapat potensi besar bagi sektor pertanian di Sarawak untuk diperkembangkan.