Anda di sini

PGA rampas bir, rokok setengah juta di Betong

Advertisement
Frediel (duduk tengah) menunjukkan gambar rampasan pada sidang media hari ini.
Frediel (duduk tengah) menunjukkan gambar rampasan pada sidang media hari ini.

SIBU: Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas bir dan rokok pelbagai jenama tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan nilai keseluruhan termasuk cukai RM531,840 dalam dua serbuan berasingan di Betong pada Isnin.

Hasil maklumat dan risikan, Cawangan Risik Kompeni C Sri Aman membuat serbuan pertama sekitar jam 12 tengah hari di sebuah premis di Jalan Ah Wee. 

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA, DSP Frediel Nyambong berkata, dalam serbuan itu, pasukan merampas sejumlah 133 karton rokok pelbagai jenis dan jenama dan 10 kotak bir dengan nilai anggaran berjumlah RM25,440 termasuk cukai. 

Ujar beliau, dua orang wanita tempatan yang bekerja di premis berkenaan turut ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah premis bersebelahan di mana sejumlah 3,376 kotak bir pelbagai jenama dengan nilai anggaran berjumlah RM506,400 termasuk cukai dirampas. 

Selain itu, seorang lelaki tempatan yang mengaku pemilik premis tersebut juga ditahan untuk membantu siasatan.
 
"Anggaran nilai rampasan keseluruhan bagi kedua-dua serbuan tersebut ialah RM531,840 termasuk cukai. 

"Hasil siasatan mendapati, pemborong menjadikan premis mereka sebagai tempat penyimpanan barang-barang tanpa cukai seperti rokok dan bir sebelum dijual kepada pengguna di sekitar bandar Betong," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Frediel berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 yang  membawa hukuman denda RM100,000 atau minimum sepuluh kali nilai barang yang mana lagi tinggi atau penjara minimum enam bulan dan maksimum tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, kesemua barangan rampasan dan tangkapan diserahkan kepada pihak Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong untuk tindakan dan siasatan lanjut.

  • oleh
  • Advertisement