Anda di sini

Pesta Cahaya Macao 2019 bakal menyinari Kuala Lumpur, bulan ini

Advertisement

PESTA Cahaya Macao 2019, anjuran Pejabat Pelancongan Kerajaan Macao (MGTO) bakal menyinari dan mempesonakan beberapa lokasi termasuk di daerah utara dan kota metropolitan Kuala Lumpur, buat pertama kalinya sempena meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan Wilayah Pentadbiran Khas Macao.

Bertemakan ‘Explore the Light’, festival ini bakal disertai pasukan antarabangsa termasuk dari Sepanyol, Portugal, Jepun dan Shenzhen serta dua pasukan tempatan untuk mempamerkan pelbagai persembahan pemetaan bercahaya.

MGTO dalam satu kenyataan menyatakan sejak tahun lepas, pasukan antarabangsa telah mula menyertai festival bagi mewujudkan peluang pertukaran antara artis tempatan, artis dari tanah besar dan luar negara, selain sebagai usaha berterusan meningkatkan kualiti dan prestasi mereka serta membawa  kepelbagaian  program ke peringkat seterusnya.

Diadakan untuk tahun kelima, festival ini akan bermula 1 hingga 31 Disember dari jam 7.00 malam hingga 10 malam dengan menampilkan persembahan pemetaan, pemasangan lampu, permainan interaktif yang meliputi 15 lokasi di empat daerah dan membolehkan penduduk dan pengunjung menikmati pesona unik setiap komuniti.

Penonton daerah utara dapat mengalami ‘Light of Age’ di mana mereka boleh ‘tersesat’ dalam keindahan ‘Lapan Planet’ di Kawasan Riadah di Rua do General Ivens Ferraz, menjelajah ke ruang angkasa masa hadapan dan merasai pengalaman ‘Space Travel’, atau berjalan kaki mengimbas sejarah di lorong  memori  melalui dekad yang berbeza di Macau dengan persembahan pemetaan ‘Memori Macau Canidrome’ di Canidrome Macau (Yat Yuen).

Pengunjung juga dapat menikmati ‘Light of Memory’ di daerah tengah dan St. Lazarus’ Parish di mana mereka boleh merasai keseronokan ‘Swinging Cascade’ dan ‘Sandbox Magic AR’ di Largo do Pagode do Bazar, ‘Homey Lamp’ di Calçada da Igreja de S. Lázaro, yang mempamerkan pelbagai pencahayaan berbeza  daripada rumah yang biasa digunakan pada zaman yang berlainan, yang turut mencerminkan kehidupan  masyarakat di Macau.

Pengunjung juga boleh menyaksikan ‘Light of Color’ di Nam Van dan Daerah Sai Van yang akan meliputi Anim’Arte Nam Van, Pusat Nautika Nam Van Lake, kanopi putih di Nam Van serta Gereja Seminari St. Joseph.

Laluan itu akan menampilkan persembahan pemetaan berjudul ‘Floating Wonder’, pemasangan cahaya mega ‘Glistening Lotus’, selain melihat belon ‘Big Mak’ yang besar setinggi 12 meter serta menghayati persembahan piano ‘Flow of Melody’.

Sementara itu, ‘Light of Harmony’ di Our Lady of Carmel Parish akan meliputi Rumah Taipa, Largo dos Bombeiros dan dataran di hadapan Kuil Pak Tai yang memaparkan kesan cahaya yang menyerupai ‘Tide of Love’ dan pemetaan yang dinamakan ‘Carnival’ mempamerkan permata kebudayaan dan kelazatan kuliner dari Portugal, menghidupkan dinamika kreatif Macao sebagai Kota Gastronomi Kreatif UNESCO.

Pelawat juga boleh memuat turun aplikasi mudah alih Pesta Cahaya Macao 2019 yang menawarkan maklumat acara, navigasi laluan, meninggalkan komen dan penebusan hadiah.

Untuk maklumat lanjut, layari www.macaotourism.gov.mo, IDC WeChat MGTO (“mgtoweixin”) dan laman sosial Facebook (2019 Macao Light Festival) dan Instagram (macaolightfestival2019). — Bernama

Advertisement