Anda di sini

Penganggur diberkas bersama dadah di Belaga

Advertisement
Dadah yang dirampas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Belaga daripada suspek pada Isnin.

BINTULU: Seorang penganggur ditahan bersama dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4,900 di sebuah pondok di Jalan Sungai Asap, Belaga pada Isnin. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Superintenden Hasnir Abdul Hamid berkata tangkapan ke atas lelaki berusia 30 tahun itu dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga sekitar 2.20 petang.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas tubuh suspek, pasukan menemui satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.03 gram syabu pada poket kanan seluar jeans yang dipakainya," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, hasil pemeriksaan lanjut di dalam pondok berkenaan, polis turut menemui satu kotak rokok pada lantai mengandungi enam peket plastik lutsinar yang setiap satu peket mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis sama seberat 32.60 gram.

"Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati beliau positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine," jelasnya. 

Menurut Hasnir, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu akan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) akta sama.

  • oleh
  • Advertisement