Anda di sini

Penempatan semula klinik hanya membebankan penduduk

Advertisement
 Penduduk terpaksa berjalan kaki di beberapa laluan jalan yang rosak.
MEMENATKAN: Penduduk terpaksa berjalan kaki di beberapa laluan jalan yang rosak.

MIRI: Cadangan untuk menempatkan semula Klinik Desa Long San di kawasan Kilometer (KM) 10, kira-kira sejam perjalanan dari Long San, hanya akan menimbulkan lebih banyak bebanan kepada penduduk di 13 perkampungan di Ulu Baram.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perlindungan Baram Philip Jau Ding mendakwa, penduduk kampung tidak teruja dengan cadangan itu, kerana ia hanya akan menjejaskan keperluan bagi penduduk di kampung-kampung berdekatan, termasuk lebih 500 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Lawai Jau dan hampir 300 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) St Pius.

“Ini akan menjadi beban besar bagi komuniti Orang Ulu yang berada di kawasan Long San dan sekitarnya kerana mereka perlu mengeluarkan wang tambahan untuk pengangkutan ke KM10,” ujar Philip pada sidang media Pejabat PKR Baram di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi PKR Baram Roland Engan, Naib Pengerusi Ellias Lippi Mat dan ahli-ahli PKR Baram.

Philip memberitahu, sudah ada notis mengenai penempatan semula Klinik Long San ke KM10, namun ia juga mendapat banyak tentangan daripada penduduk.

Beliau mendedahkan, berikutan ramai yang menolak cadangan itu maka satu dialog bersama penduduk kampung telah diadakan pada 25 November lalu anjuran pegawai perubatan Miri yang dihadiri Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau.

Beliau mendakwa semasa dialog berkenaan, pihak pegawai perubatan pula yang lebih teruja, malah menekankan untuk bersedia berpindah ke KM10.

Philip memberitahu, alasan pegawai perubatan dan Jabatan Kesihatan untuk memindahkan klinik tersebut adalah kerana keadaan bangunan yang sudah usang, selain banyak hakisan di belakang klinik yang boleh menyebabkan tanah runtuh dan membahayakan nyawa kakitangan.

Philip memberitahu, kementerian boleh menyelesaikan masalah tersebut dengan membaik pulih bangunan tersebut dan  memperkukuhkan bahagian belakangnya bagi mengelak berlaku hakisan, sekali gus menyelesaikan masalah tanpa perlu memindahkannya ke lokasi lain.

 Keadaan jalan yang semakin teruk terutama apabila tiba musim hujan.
PERLU DIBAIKI: Keadaan jalan yang semakin teruk terutama apabila tiba musim hujan.

Penduduk juga katanya, turut dijanjikan bahawa Kementerian Kesihatan akan menyediakan klinik bergerak dan menyediakan jururawat untuk pergi ke sekolah, yang mana dianggap bukan kaedah jangka panjang yang baik.

Selain itu katanya, mereka juga boleh menggunakan dewan masyarakat jika penduduk bersetuju.

“Formula ini lebih relevan berbanding memindahkannya ke lokasi KM10 yang merupakan ‘pusat perniagaan’ bagi syarikat-syarikat pembalakan yang ada,” katanya.

Sementara itu, Roland pada sidang media yang sama berkata, usaha memindahkan klinik itu ke lokasi baru yang terletak sejam perjalanan dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda, bukanlah idea yang bijak.

“Lokasi yang ideal untuk klinik itu ialah di Long San di mana penduduk dari Ulu Baram boleh datang mendapatkan khidmat perubatan sama ada melalui sungai atau jalan darat yang lebih dekat,” katanya.

Sebaliknya jika syarikat pembalakan dan perkayuan di KM10 ingin membina klinik sendiri (sebuah klinik swasta) mereka boleh dan mampu berbuat demikian namun tidak perlu mengambil kesempatan dengan memindahkan Klinik Desa Long San sedia ada.

Mengenai isu lain yang dibangkitkan pada sidang akhbar itu, Philip mendedahkan bahawa jalan balak sejauh 40 kilometer yang menghubungkan Long Lama dengan Long Bedian kini semakin buruk dan memerlukan perhatian segera wakil rakyat GPS dan kerajaan negeri.

Beliau berkata, jika sebelum ini, penduduk kampung boleh memandu selama satu jam perjalanan dari Long Lama ke Long San dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, tetapi kini mereka terpaksa mengambil masa beberapa jam dan keadaan bertambah buruk apabila tiba musim hujan seperti yang berlaku ketika ini.

Philip mendakwa, dengan adanya dua wakil rakyat (ADUN) dan seorang Ahli Parlimen di Baram, mereka sepatutnya boleh menyuarakan masalah itu dan meminta kerajaan negeri membina jalan raya yang lebih baik dan berturap.

Katanya, rakyat di kawasan itu turut menggesa syarikat-syarikat pembalakan, kuari atau syarikat korporat seperti Petronas yang menggunakan jalan yang sama untuk membantu mengekal dan menaik taraf jalan raya tersebut, terutama menjelang musim perayaan Krismas kelak apabila penduduk yang tinggal di bandar-bandar utama di Sarawak kembali ke kampung halaman mereka di Baram.

“Kami merayu kepada syarikat-syarikat ini supaya menggunakan CSR mereka untuk membantu mengekalkan jalan raya dan memperbaiki kerosakan yang ada dengan segera, sebelum perkara kecemasan berlaku seperti mereka yang mahu mendapatkan rawatan segera, wanita hendak bersalin dan sebagainya,” ujarnya.

Mengenai isu lain, jalan raya dari Bario-Pa Lungan yang dijanjikan kerajaan GPS dan diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan kos RM3 juta pada 27 Julai lalu, sehingga kini masih belum kelihatan kerja-kerja memulakannya.

Philip memberitahu, sebanyak 18 kampung dari Bario ke Pa Lungan menggunakan jalan berkenaan dan kerap kali melakukan gotong-royong jika ada kerosakan jalan demi mengekalkannya bagi keperluan mereka.

“Tetapi sampai bila dan berapa lama lagi penduduk harus melakukan penyelenggaraan ini dengan titik peluh dan tangan mereka sendiri tanpa sebarang dana pun diberikan kepada mereka, selain terpaksa meninggalkan kampung untuk melakukan kerja-kerja gotong-royong dari Long Banga ke Pa Lungan apabila ada jalan raya terputus,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement