Anda di sini

Pelajar bebas tuduhan miliki, tanam pokok ganja

Advertisement
 Tertuduh masing-masing menangis dan memeluk ahli keluarga mereka.
KELEGAAN: Tertuduh masing-masing menangis dan memeluk ahli keluarga mereka.

KUCHING: Empat pelajar tahun akhir di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini menitiskan air mata gembira apabila mereka dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada pertuduhan memiliki 33.69 gram ganja dan pertuduhan menanam anak pokok ganja di belakang rumah sewa mereka.

Fakrullah Aqmal Mohamad Roslan, 24, Mohd Sarhan Suriansah, 21, Muhammad Hafiz Azmi Mohamad Yahya, 22 dan Muhammad Nashihin Mat Zaidi, 23, masing-masing mengucapkan kalimah syukur sejurus Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff memberikan keputusannya mengenai kes ini.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap keempat-empat tertuduh.

“Justeru, kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri,” ujarnya dalam prosiding mahkamah yang berlangsung sekitar jam 3.15 petang semalam.

Keempat-empat tertuduh masing-masing menghadapi dua pertuduhan dalam kes ini.

Bagi pertuduhan pertama, kesemuanya didakwa menanam anak pokok ganja setinggi 10 sentimeter di belakang rumah mereka di Kampung Atas Sungai Cina, Matang pada 25 Februari lalu, jam 4 petang.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara seumur hidup dan boleh disebat tidak kurang daripada enam sebatan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan kesalahan memiliki 33.69 gram ganja di tempat dan waktu yang sama.

Untuk kesalahan terbabit, mereka didakwa di bawah Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(A)1 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun dan boleh juga dikenakan denda serta tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi sembilan sebatan.

Sementara itu, Fakrullah dan Sarhan juga dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri untuk satu lagi pertuduhan berasingan iaitu memiliki 154.23 dan 76.49 gram ganja.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(A)2 kanun sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara seumur hidup atau penjara tidak kurang daripada lima tahun dan boleh dikenakan denda serta disebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Menurut fakta kes, beberapa barang kes seperti alat pengisar ganja dan alat timbang digital turut ditemui di rumah berkenaan semasa serbuan dilakukan.

Polis turut menemui tujuh bungkusan kecil plastik lutsinar masing-masing berisi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja.

Fakrullah dan Sarhan diwakili peguam Osman Ibrahim dan Fadzillah Osman.

Hafiz pula diwakili peguam Michael Tiang manakala Nashihin diwakili peguam Abdul Rahman dan Roy Angau Datuk Gingkoi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Daniel Ilham Kamaruddin.

  • oleh
  • Advertisement