Anda di sini

PBK tuntut iktiraf hulu Sungai Adang sebagai NCR

Advertisement
 (Dari tujuh kiri) Peter dan Voon bersama ahli PBK ketika berpiket di hadapan Mahkamah Majistret Limbang semalam.
IKTIRAF NCR: (Dari tujuh kiri) Peter dan Voon bersama ahli PBK ketika berpiket di hadapan Mahkamah Majistret Limbang semalam.

LIMBANG: Parti Bumi Kenyalang (PBK) menuntut kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Survei (JTS) mengiktiraf laluan di kawasan hulu Sungai Adang di sini yang terlibat dalam Projek Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP) sebagai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Presidennya Voon Lee Shan berkata, laluan sepanjang 19 kilometer membabitkan kawasan lebih 34,000 hektar yang terlibat dalam projek di bawah Petronas itu perlu diiktiraf sebagai tanah NCR termasuk Pemakai Menoa dan Pulau Galau.

Beliau berkata, tuntutan penduduk di hulu Sungai Adang masih berlanjutan dari tahun 2012 hingga kini termasuk memfailkan permohonan tersebut sebanyak dua kali di mahkamah.

“Penduduk hanya menuntut kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Survei mengiktiraf laluan jalan sepanjang 19 kilometer itu sebagai tanah NCR, bukan tanah negeri di bawah Seksyen 6,” katanya ketika ditemui media ketika berpiket di hadapan Mahkamah Majistret Limbang di sini, semalam.

Kira-kira 20 ahli PBK berpiket secara aman di hadapan Mahkamah Majistret Limbang sambil membawa sepanduk menuntut kerajaan negeri mengiktiraf tanah NCR membabitkan laluan projek SSGP di Hulu Sungai Adang.

Turut hadir Naib Presiden PBK Peter Asut dan ahli jawatankuasa parti itu.

Voon juga mahu proses tuntutan bagi mengiktiraf tanah NCR itu dipercepat kerana penduduk amat bergantung kepada kawasan hutan yang banyak memberikan mereka sumber makanan dan tempat bergantung untuk mencari pendapatan.

Advertisement