Anda di sini

Liga Perdana Inggeris: Iheanacho muncul wira The Foxes

Advertisement
 Iheanacho (kanan) menjaringkan gol kemenangan Leicester pada lewat permainan ketika beraksi pada perlawanan Liga Perdana Inggeris  menentang Everton di Stadium King Power, Leicester kelmarin. — Gambar AFP
GOL KEMENANGAN: Iheanacho (kanan) menjaringkan gol kemenangan Leicester pada lewat permainan ketika beraksi pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Everton di Stadium King Power, Leicester kelmarin. — Gambar AFP

LEICESTER, England: Kelechi Iheanacho menjadi wira Leicester City selepas pasukannya bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Everton 2-1 dan kembali merapatkan kedudukan di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, dengan kurang lapan mata Ahad lepas.

Pemain antarabangsa Nigeria itu tidak bermain satu perlawanan dalam liga musim ini sebelum dimasukkan dari bangku simpanan selepas satu jam permainan tetapi beliau mengumpan bola kepada Jamie Vardy untuk mengikat kedudukan sebelum menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan.

“Pasukan terbaik mempunyai semangat,” kata pengurus Leicester, Brendan Rodgers ketika bercakap tentang kebangkitan pasukannya. “Ini adalah sebuah pasukan yang sangat kuat bersama. Kelechi adalah satu demonstrasi jelas seseorang yang berlatih dengan sikap yang hebat setiap hari.

“Ia adalah tentang memberikan beliau keyakinan dan memperkuatkan semula kedudukannya. Selebihnya di tangan beliau. Saya berasa sangat gembira dengan beliau.”

Richarlison meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada perlawanan di Stadium King Power ketika Everton kelihatan mempamerkan aksi memberangsangkan untuk menyelamatkan kedudukan pengurus mereka, Marco Silva, menjelang pertemuan menentang Liverpool pada pertengahan minggu.

Silva dilaporkan diambang pemecatan pada awal minggu selepas pasukannya tewas 0-2 kepada Norwich di tempat sendiri.

Satu lagi kekalahan menyebabkan Everton hanya dua mata di atas zon penyingkiran, dengan perlawanan menentang sukar Liverpool, Chelsea, Manchester United dan Arsenal menyusul selepas ini.

“Satu keputusan yang sukar buat pemain dan kelab. Kami selayaknya lebih baik lagi dari perlawanan ini,” kata Silva.

“Tiada siapa berkata apa-apa tentang komitmen, sikap dan keazaman pemain.”

Di Norwich, ia adalah cerita yang sama buat Arsenal selepas seri 2-2 pada perlawanan pertama pengurus sementara kelab, Freddie Ljungberg.

Norwich mendahului dua kali menerusi gol Teemu Pukki dan Todd Cantwell tetapi kapten Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang memastikan Ljungberg tidak memulakan karier sebagai jurulatih sementara Arsenal dengan kekalahan.

“Ia mudah untuk melihat apa yang kami usahakan,” kata Ljungberg. “Kami perlu berlatih lebih gigih lagi, kami menguasai permainan tetapi mereka menembusi pertahanan kami dengan agak mudah.”

Arsenal bagaimanapun berterima kasih kepada penjaga golnya, Bernd Leno, yang menepis cubaan dari Kenny McLean, Pukki dan Emiliano Buendia ketika pasukan tuan rumah mengintai peluang.

Unai Emery dipecat Jumaat lalu selepas tujuh perlawanan tanpa menang dalam semua pertandingan, yang menyaksikan Arsenal tercicir dari empat tangga teratas liga.

Satu mata Ahad lepas meletakkan Arsenal masih ketinggalan di tangga kelapan liga dengan tujuh mata dari pasukan di tangga keempat tetapi Ljungbrg percaya beliau boleh membantu pasukan merapatkan kedudukan.

Manchester United mensia-siakan pendahuluan gol dalam separuh masa kedua untuk kekal lapan mata dari empat tangga teratas liga selepas diikat 2-2 oleh Aston Villa di Old Trafford.

Jack Grealish meletakkan Villa di hadapan dengan jaringan solo tetapi United mengikat kedudukan sebelum rehat apabila tandukan Marcus Rashford terkena palang dan melantun terkena penjaga gol Villa, Tom Heaton untuk gol sendiri sebelum Victor Lindelof meletakkan United di hadapan buat kali pertama.

Tetapi seminggu selepas mensia-siakan pendahuluan gol sebelum diikat 3-3 oleh Sheffield United, United kelihatan tidak belajar dari kesilapan yang sama apabila Tyrone Mings menjaringkan gol penyamaan pada lewat permainan.

Keciciran dua mata itu menyebabkan United terlepas peluang naik ke tangga kelima liga.

Sebaliknya, mereka kekal di tangga kesembilan dan ketinggalan dua mata di belakang Tottenham Hotspur, yang akan bertandang ke United Rabu ini bersama pengurus baharunya, Jose Mourinho, yang juga bekas pengurus United sebelum dipecat 11 bulan yang lalu.

“Saya tidak akan duduk di sini bercakap tentang kami melonjak ke tangga kelima jika menjaringkan satu lagi gol,” kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer.

“Kedudukan liga ketika ini bukan sesuatu yang sangat penting, ia sangat sengit. Saya hanya mahu memastikan prestasi dan keputusan kami sentiasa meningkat.

“Apa yang boleh saya katakan setakat ini ialah kami mendahului kedudukan begitu kerap dan belum dapat menang dari perlawanan itu. Enam atau tujuh kali kami mendahului kedudukan dan seharusnya melakukan yang lebih baik untuk menamatkannya dengan kemenangan.” — AFP

Advertisement