Anda di sini

Lelaki ditahan bersama dadah dibalut di badan

Advertisement

BALIK PULAU: Taktik seorang lelaki warga China cuba menyeludup keluar heroin base dengan membalut dadah seberat 2,313 gram itu di badannya gagal apabila dia ditahan di bahagian pengimbas terminal berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anabalagan berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan jam 10.10 pagi oleh seorang anggota polis bantuan selepas dia berada dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan menemui enam ketulan mampat heroin base dalam bengkung yang diikat di badannya bernilai RM215,000.

“Lelaki yang mahu menaiki penerbangan ke Hong Kong itu dilihat berjalan dengan membongkokkan badan seperti cuba menyembunyikan sesuatu. Bengkung berkenaan ditutup dan diikat dengan plastik dipercayai cuba mengelak dikesan pengimbas di lapangan terbang itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Susulan penahanan lelaki itu, polis turut merampas wang tunai pelbagai mata wang bernilai RM1,181.87 daripada suspek yang bekerja sendiri.

Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu datang ke Pulau Pinang pada awal bulan lepas sebelum pulang ke negaranya selepas tiga hari berada di negeri ini dan datang semula pada 27 Nov lepas sebelum ditahan ketika mahu balik ke Hong Kong.

“Lelaki itu mendakwa dia datang ke sini untuk mengambil bekalan dadah daripada sindiket dadah di sini sebelum dihantar kepada sindiket (dadah) di negaranya. Peranan suspek hanya membawa dadah itu dan dia bukan anggota mana-mana sindiket pengedaran dadah.

“Lelaki itu turut mendakwa dia terpaksa berbuat demikian bagi melunaskan sejumlah besar hutangnya dengan sindiket berkenaan. Setakat ini, dia mengaku hanya datang ke negeri ini untuk mengambil bekalan dadah dan tidak pernah ke negara lain bagi mendapatkan dadah,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan sindiket dadah yang membekalkan heroin base itu kepada lelaki terbabit, yang kini direman sehingga 7 Disember ini. — Bernama

Advertisement