Anda di sini

KPM sedia modul pilihan raya sebagai bahan sokongan pembelajaran murid 

Advertisement
 
MASZLEE
MASZLEE

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan telah menyediakan modul berkaitan pilihan raya sebagai bahan sokongan dalam pembelajaran murid, kata menterinya Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga terlibat dalam menjalankan sesi simulasi pemilihan ketua murid melalui mekanisme  ala ‘pilihan raya’ di sekolah yang terpilih secara berperingkat.

“Dapatan daripada simulasi itu dijadikan asas sebagai penyediaan garis panduan pelaksanaan proses pemilihan ketua murid menggunakan sistem pilihan raya di sekolah. 

“Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) yang baharu akan memberikan kebenaran kepada pihak sekolah memperluas penggunaan ‘speaker’s corner’ yang telah kita perkenalkan semenjak Jun tahun lepas sebagai platform calon pengawas murid mempromosi keupayaan diri,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) tentang cadangan kementerian memasukkan silibus pendidikan demokrasi di sekolah memandangkan Parlimen sebulat suara menyokong pindaan perlembagaan yang membolehkan rakyat berumur 18 tahun mengundi. 

Menjelas lanjut, Maszlee berkata SPI baharu tersebut akan membatalkan SPI Bil 5 Tahun 2010 yang melarang pilihan raya diadakan di sekolah bagi tujuan pemilihan ketua murid, selain ia lebih komprehensif dan mematangkan murid. 

Katanya semua program yang sedang dan akan dijalankan kementerian diharap dapat melahirkan murid memahami erti demokrasi dan melahirkan warga Malaysia yang cintakan nusa, bertanggungjawab, amanah dan memberi sumbangan kepada negara. - Bernama 

Advertisement