Anda di sini

Kes tiga warga asing miliki item berkaitan pengganas disebut lanjut 9 Januari depan

Advertisement
Tertuduh-tertuduh dikawal ketat oleh anggota dari Bahagian Anti Pengganas (E8) semasa dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini.
Tertuduh-tertuduh dikawal ketat oleh anggota dari Bahagian Anti Pengganas (E8) semasa dibawa ke Mahkamah Sesyen hari ini.

MIRI: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 9 Januari depan untuk sebutan lanjut kes tiga warga asing termasuk sepasang suami isteri yang dituduh memiliki item-item berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Penetapan tarikh itu dibuat Hakim Steve Ritikos setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz.

Dalam permohonannya, Aftal memohon penangguhan selama sebulan bagi membolehkan pihak pendakwa mendapatkan laporan forensik berhubung kandungan telefon bimbit yang dirampas daripada ketiga-tiga tertuduh untuk dijadikan barang kes.

Ardiana Rashid, 26, dan suaminya Sandi Saputra Marsuki, 23, serta Abdan Syakur, 32, kesemuanya dari Indonesia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan hendaklah dilucuthak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kes pertama, Ardriana dituduh memiliki item-item berkaitan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbitnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.10 petang, 14 September lalu di ruang pejabat sebuah syarikat perladangan di Lambir.

Manakala dalam kes kedua, Abdan dituduh melakukan kesalahan serupa dengan memiliki item-item berkaitan IS di dalam telefon bimbitnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 4.25 petang, 14 September lalu di tapak pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Jalan Miri-Bintulu.

Sementara dalam kes ketiga, Sandi turut dituduh memililki item-item berkaitan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbitnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.45 petang, 14 September lalu di kuarters pekerja sebuah syarikat perladangan di Lambir.

Mahkamah kemudian memerintahkan ketiga-tiga tertuduh ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

  • oleh
  • Advertisement