Anda di sini

Kerajaan Sarawak optimis kemampuan sektor swasta bangun, sedia perkhidmatan perubatan

Advertisement
Abang Johari menerima taklimat daripada Pengarah Perubatan BMC Miri, Dr Kenny Yeap (kiri) mengenai CT Scan, model terkini dan paling canggih, yang dimiliki oleh BMC Miri sambil diperhatikan oleh (dari kanan) Lee, Dr Sim, Robert serta ADUN Pujut, Dr Ting Chiong Choon.
Abang Johari menerima taklimat daripada Pengarah Perubatan BMC Miri, Dr Kenny Yeap (kanan) mengenai CT Scan, model terkini dan paling canggih, yang dimiliki oleh BMC Miri sambil diperhatikan oleh (dari kanan) Lee, Dr Sim, Robert serta ADUN Pujut, Dr Ting Chiong Choon.

MIRI: Kerajaan Negeri Sarawak amat optimis dengan kemampuan sektor swasta dalam membangun dan menyediakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan di negeri ini. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau lebih yakin sektor swasta dalam menyediakan penjagaan kepada rakyat, ditambah dengan kemampuan mereka menyediakan kemudahan serba lengkap dan lebih maju yang mampu menyaingi negara luar. 

"Di samping itu, sektor swasta juga mempunyai kebebasan untuk mereka bentuk bangunan dan kemudahan mereka berbanding kerajaan yang lebih terikat kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), yang mempunyai rekaan biasa dan sama sahaja serta tidak 'update'," ujar beliau lagi.

Atas keyakinan itu katanya, kerajaan akan sentiasa bekerjasama dan membantu sektor perubatan swasta dengan mengenal pasti dan menyediakan tapak (tanah) yang sesuai. 

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita semasa merasmikan pembukaan pusat perubatan swasta Borneo Medical Centre (BMC) Miri di sini, hari ini. 
 
BMC Miri adalah hospital swasta pertama dibangunkan oleh Borneo Specialist Hospital Sdn Bhd di Miri dan utara Sarawak serta yang keempat di negeri ini, selepas Rejang Medical Centre di Sibu yang dibina 22 tahun lalu, diikuti oleh BMC di Bintulu pada 2011 dan Kuching pada 2013. 

Ditanya mengenai khidmat penjagaan kesihatan khususnya untuk warga emas di negeri ini, Abang Johari memberitahu sektor swasta menyediakan perkhidmatan penjagaan dengan lebih baik berbanding kerajaan. 

Katanya, dengan keadaan populasi warga emas yang semakin bertambah ketika ini, pusat penjagaan boleh dibangunkan dengan kemudahan yang serba baik, seperti mana konsep yang digunakan di Australia, iaitu rumah penjagaan persendirian, yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. 

Abang Johari berkata pusat penjagaan yang dibangunkan di Tabuan, Kuching amat berjaya dan di Miri pula, BMC merancang untuk membangunkan pusat penjagaan serupa di tapak kosong bersebelahan hospital berkenaan. 

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr Sim Kui Hian; Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin; kedua-dua Pengarah Urusan BMC, Dr Peter Tang dan Robert Lau; Pengerusi BMC Miri, Dr Matthew Kho; Pengarah Perubatan BMC Miri, Dr Kenny Yeap dan menteri-menteri muda serta wakil-wakil rakyat di sini. 
 
Mengenai pembukaan rasmi BMC hari ini, Abang Johari dalam ucapannya berkata ia bukan sahaja menyediakan pilihan perubatan dan rawatan kepada rakyat di Miri dan utara Sarawak tetapi juga negara-negara jiran, sekali gus membantu mempromosikan sektor pelancongan berasas perubatan. 

Beliau turut memuji BMC Miri yang dilengkapi dengan pengimejan resonan magnetik (MRI) dan mesin pengimbas tomografi (CT Scan) berkomputer yang terkini dan canggih, sebagai sebuah hospital swasta yang terbaik setakat ini di Sarawak, selain memiliki reka bentuk yang moden, tersusun dan amat mengutamakan keselesaan pelanggannya.    

  • oleh
  • Advertisement