Anda di sini

Keputusan kes saman Uggah-Vernon diketahui esok

Advertisement
Uggah di lobi Mahkamah Kuching menuju ke kamar mahkamah tempat kes bersidang.
Uggah di lobi Mahkamah Kuching menuju ke kamar mahkamah tempat kes bersidang.

KUCHING: Keputusan kes saman fitnah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas terhadap bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Vernon Kedit akan diketahui esok. 

Hakim Mahkamah Tinggi Ravinthran N. Paramaguru yang menetapkan keputusan itu berkata kos mengenai perbicaraan juga hendaklah dipersetujui kedua-dua pihak terbabit.

"Kedua-dua pihak dicadangkan untuk berbincang dan mencapai persetujuan bersama mengenai jumlah bagi kos guaman," katanya ketika meneruskan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuching, hari ini. 

Sementara itu, peguam bagi kedua-dua pihak berhasrat menyerahkan keputusan mengenai kos guaman tersebut kepada mahkamah.

Peguam Uggah, Sim Hui Chuang apabila ditanya jumlah wang yang akan dituntut dalam kes saman fitnah ini, beliau berkata, biarlah mahkamah yang menentukan.

“Kita akan mengetahui semua keputusan esok,” ujar beliau. 

Uggah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban memfailkan kes saman fitnah pada 8 Ogos 2018 berikutan Vernon melabelkannya sebagai ‘penipu’ dah ‘pengkhianat.’

Vernon mengeluarkan pernyataan tersebut menerusi kumpulan WhatsApp PKR State Media pada 12 Julai 2018.

Sebelum ini di mahkamah, Vernon menyatakan bahawa pernyataan yang dikeluarnya merupakan tindak balas kepada artikel berita dalam portal DayakDaily. 

Ujarnya semasa memberikan keterangan di mahkamah juga, kumpulan WhatsApp PKR State Media itu merupakan kaedah untuk menyampaikan maklumat di samping berhubung dengan penduduk pribumi Sarawak.

Beliau dikatakan mengulas mengenai dakwaan ketidaksempurnaan Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 yang menukarkan Hak Tanah Adat (NCR) kepada domain kawasan peribumi (NTD).

Kes saman fitnah ini juga menyaksikan seramai lapan saksi terdiri daripada pengamal media dan peguam, dipanggil ke mahkamah untuk memberikan keterangan. 

Vernon diwakili peguam, Desmond Kho manakala pihak plaintif iaitu Uggah diwakili peguam, Sim Hui Chuang dan Stella Lim.

Turut hadir untuk memberikan sokongan kepada Uggah ialah bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta para penyokong. 


 

  • oleh
  • Advertisement