Anda di sini

Kehilangan pistol: Polis dipenjara sehari, denda RM1, 000

KOTA KINABALU: Seorang anggota polis dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana cuai sehingga kehilangan pistol, dua tahun lepas.

Majistret Afiq Agoes menetapkan hukuman itu terhadap Mohd Izzam Gorudin Abdullah, 34, selepas mengaku bersalah kehilangan pistol revolver .38 Smith and Wesson SPL 2 yang dalam jagaannya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 35 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kes, tertuduh kehilangan pistolnya (J789229) yang berada dalam jagaannya di sebuah stesen minyak di Jalan Penampang pada 26 Mac 2017.

Fakta kes menunjukkan sebelum kejadian itu, tertuduh dan kawannya tertidur dalam kereta sebelum terjaga dan mendapati pistol yang disimpan dalam beg sling telah hilang.