Anda di sini

Ibu tunggal mampu peroleh RM17,000 sebulan

Advertisement
 Florence menerima anugerah daripada Menteri KWKPK Dato Sri Fatimah Abdullah pada Karnival Wellbest Sarawak baru-baru ini. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
TAHNIAH: Florence menerima anugerah daripada Menteri KWKPK Dato Sri Fatimah Abdullah pada Karnival Wellbest Sarawak baru-baru ini. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Siapa sangka dengan hanya mengusahakan kedai runcit dan menjual produk hasil tani, Florence Remi Lanchang mampu meraih pendapatan RM17,000 sebulan.

Cita-citanya yang tinggi untuk berjaya serta keinginan menikmati hidup mewah menjadi pendorong untuk Florence bekerja keras bagi mencapai apa yang diingininya.

“Pada mulanya hidup saya sekeluarga memang susah. Berniaga di tepi jalan, tidak ada kereta dengan pendapatan RM600 sebulan sahaja.

“Hidup kami sekeluarga berubah apabila saya menyertai program Usahawan Mikro Kebajikan (UMK) tahun lepas dan sekarang pendapatan bersih  saya mencecah RM17,000 sebulan,” katanya.

Florence berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Anugerah Platinum UMK Contoh 2017/2018 sempena Karnival Wellbest Sarawak di Metrocity di sini baru-baru ini.

Karnival serta anugerah tersebut merupakan acara tahunan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di bawah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK).

Florence yang merupakan ibu tunggal tiga anak menambah, berbekalkan geran RM5,000 di bawah program UMK, ia digunakan sepenuhnya untuk membeli peralatan untuk berniaga.

Antaranya peti sejuk untuk menyimpan produk hasil tani yang dijual serta rak-rak untuk menjual produk di kedai runcitnya yang dibuka di Pasar Basah Emart Batu Kawa.

Selain itu katanya, beliau turut membuka lot-lot berniaga di tempat-tempat lain seperti Kubah Ria selain turut berniaga di pasar-pasar malam.

Selepas kejayaan dipilih sebagai pemenang Anugerah Platinum UMK Contoh, wanita Iban yang berasal di Selangau ini yang kini menetap di Kuching mahu meningkatkan lagi perniagaannya.

“Saya mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa ibu tunggal juga mampu berjaya seperti orang lain dan boleh berdikari serta tidak mudah putus asa.

“Saya tidak mahu lagi terus hidup dalam kesempitan seperti yang pernah saya lalui sebelum ini bersama anak-anak saya,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement