Anda di sini

Gol lewat Messi kembalikan impian Barca mempertahan kejuaraan liga

Advertisement
 Messi meraikan jaringannya pada minit akhir perlawanan pada aksi La Liga Sepanyol di antara Atletico dan Barca di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid kelmarin. — Gambar AFP
CETUS INSPIRASI: Messi meraikan jaringannya pada minit akhir perlawanan pada aksi La Liga Sepanyol di antara Atletico dan Barca di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid kelmarin. — Gambar AFP

MADRID, Sepanyol: Lionel Messi mengembalikan impian Barcelona mempertahankan kejuaraan La Liga Sepanyol apabila menjaringkan gol kemenangan lewat untuk menang 1-0 di Atletico Madrid Ahad lepas.

Messi adalah pemain pilihan untuk memenangi anugerah Ballon D’Or buat kali keenam dan beliau sekali lagi membuktikan kemampuannya untuk membantu Barca menang di Stadium Wanda Metropolitano, di mana perlawanan kelihatan berkesudahan dengan seri tanpa jaringan.

“Pada perlawanan yang sangat sengit, mempunyai Leo dalam pasukan anda sentiasa satu kelebihan besar,” kata jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde.

Messi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 selepas bergandingan dengan Luis Suarez, untuk membolehkan pasukannya berkongsi mata dengan Real Madrid di kelompok teratas liga sementara kekalahan menyebabkan Atletico perlu bekerja lebih keras jika mahu kembali mencabar.

“Ia penting untuk mengutip tiga mata penuh tetapi ia juga penting untuk mentaliti pasukan,” kata Valverde. “Ia memastikan kami mengharungi tempoh perayaan Krismas dengan keyakinan.”

Atletico kini kurang enam mata di belakang Real dan Barca, dengan dua pasukan itu juga kurang satu perlawanan berbanding Atletico selepas perlawanan asal ‘El Clasico’ bulan lepas ditangguhkan ke 18 Disember.

Ia bermakna Atletico boleh mengharungi cuti musim Krismas dengan ketinggalan sembilan mata dan juga mereka perlu menentang Barca dan Real Madrid sekali lagi pada separuh kedua musim.

“Kami memerlukan sembilan mata,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone. “Kami tidak ketinggalan jauh tetapi kami risau. Saya gembira dengan cara kami bermain tetapi saya tidak mampu tersenyum kerana ia tidak memberikan sebarang mata.”

Antoine Griezmann diejek pada kepulangannya ke bekas kelab, di mana beliau berpindah ke Barca dengan yuran perpindahan 120 juta euro tetapi Messi menjaringkan gol ke-12 beliau musim ini dan yang keenam dari lima perlawanan terakhir.

Beliau sudah menjaringkan 25 gol dari 27 perlawanan liga menentang Atletico namun ia adalah gol pertama di Wanda Metropolitano.

Barcelona bernasib baik tidak kehilangan seorang pemain dalam separuh masa kedua apabila Gerard Pique hanya dilayangkan kad kuning ekoran terjahan keras ke atas Alvaro Morata.

Mereka juga bernasib baik pada 20 minit pertama apabila berkampung di tempat sendiri dan berterima kasih dengan ketangkasan penjaga golnya, Marc-Andre ter Stegen yang menepis cubaan Mario Hermoso dan juga Morata.

Ter Stegen ada tertewas tetapi rembatan Hermoso terkena palang sebelum Barca mengimbangi permainan dalam separuh masa kedua.

Ketika kedua-dua pasukan membayangkan keputusan seri, Messi memecah kebuntuan selepas bertukar hantaran dengan Suarez.

Pada perlawanan awal, Sevilla hanya kurang satu mata di belakang Real dan Barca selepas menewaskan Leganes 1-0.

Skuad kendalian Julen Lopetegui itu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan dalam 10 perlawanan dengan gol kemenangan dijaringkan Diego Carlos pada minit ke-63. — AFP

Advertisement