Anda di sini

Dua projek di bawah UKAS gagal disiapkan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dua projek dengan bantuan Dana Mudahcara membabitkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) berjumlah RM248 juta gagal disiapkan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2018.

Ia merupakan antara penemuan audit yang mendapati projek yang masih tidak dapat disiapkan setakat Mei 2019 ialah projek Stesen Jana Kuasa Geothermal disebabkan penarikan Kelulusan Galakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenagasa Lestari (SEDA).

“Bagi projek Universiti Perdana pula, penyaluran dana berjumlah RM191 juta iaitu 89.7 peratus daripada jumlah dana yang diluluskan telah dibuat namun projek tersebut masih belum dimulakan sehingga kini.

“Selain itu, terdapat dua projek yang dibuat perubahan skop sehingga menyebabkan objektif asal projek tidak berjaya dicapai walaupun projek berkenaan telah berjaya disiapkan,” demikian menurut laporan itu yang dikeluarkan, semalam.

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM30 bilion untuk merangsang pelaburan swasta dalam bidang keutamaan yang strategik serta dapat memberi impak kepada ekonomi negara dan sehingga 31 Disember 2018, kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM12.013 bilion kepada UKAS bagi tujuan Dana Mudahcara.

Bagi aspek pengurusan pula, laporan itu mendapati kelemahan dalam proses penilaian, pentadbiran perjanjian dan penyaluran dana yang boleh mendedahkan kerajaan kepada tadbir urus yang kurang cekap.

Laporan itu menjelaskan, pengeluaran Dana Mudahcara berjumlah RM3.612 bilion telah dibuat kepada syarikat, agensi tertentu bagi tujuan yang tidak selaras dengan objektif dana tersebut.

Sebagai contoh, pengeluaran dana dibuat bagi tujuan bayaran pengambilan balik tanah projek Laluan Rel Pantai Timur, Saluran Paip Gas Pelbagai Produk dan Saluran Paip Trans-Sabah yang tidak sepatutnya menggunakan Dana Mudahcara.

“Demikian juga, penggunaan Dana Mudahcara untuk membayar komitmen hutang syarikat tertentu adalah tidak wajar.

“Selain itu, garis panduan Dana Mudahcara yang membenarkan kriteria kelayakan projek dipinda mengikut kelulusan khas, boleh mendedahkan kerajaan kepada amalan tadbir urus yang kurang cekap. Ini kerana tiada kertas kerja penilaian teknikal disediakan semasa proses penilaian oleh UKAS.

“Perbincangan dan penilaian teknikal yang dibuat dalam mesyuarat juga tidak diminitkan dengan jelas,” kata laporan itu.

Justeru, laporan tersebut memberikan beberapa syor antaranya UKAS hendaklah menghentikan kaedah penyaluran Dana Mudahcara secara progresif kerana ia menyebabkan risiko kewangan projek terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

Penyaluran dana secara progresif juga jelas bertentangan dengan konsep kerjasama awam swasta yang mana risiko kewangan sepatutnya ditanggung oleh syarikat swasta.

Laporan audit turut mengesyorkan supaya UKAS mengeluarkan surat amaran kepada syarikat yang tidak berjaya memenuhi syarat perjanjian dan sekiranya syarikat melanggar syarat kontrak tindakan sewajarnya perlu diambil.

“UKAS (juga) hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang melanggar syarat perjanjian dengan menyegerakan pengeluaran Default Notice dan penamatan perjanjian supaya dana yang disalurkan dapat dikutip semula,” kata laporan itu. — Bernama

Advertisement