Anda di sini

Dua gol Martinez bawa Inter Milan ke puncak liga

Advertisement
 Martinez (dua kiri) meraikan jaringannya ketika beraksi pada perlawanan Serie A Itali di antara Inter Milan dan SPAL di San Siro, Milan kelmarin. — Gambar AFP
RAI BERSAMA PENYOKONG: Martinez (dua kiri) meraikan jaringannya ketika beraksi pada perlawanan Serie A Itali di antara Inter Milan dan SPAL di San Siro, Milan kelmarin. — Gambar AFP

MILAN, Itali: Dua gol Lautaro Martinez dalam separuh masa pertama membolehkan Inter Milan melonjak ke tangga teratas Serie A Itali selepas menewaskan SPAL 2-1 sementara juara bertahan, Juventus, diikat di tempat sendiri oleh Sassuolo Ahad lepas.

“Kami tidak menggunakan kepala kami,” kata jurulatih Juventus, Maurizio Sarri selepas pasukannya tercicir mata pertama mereka di tempat sendiri musim ini.

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol penalti untuk membantu Juventus seri 2-2 tetapi Juventus tercicir ke tangga kedua dan kurang satu mata berbanding Inter Milan.

Martinez meletakkan Inter di hadapan pada minit ke-16 perlawanan di San Siro dan kemudian menyempurnakan umpanan Antonio Candreva untuk gol kedua perlawanan dan gol liga kelapan beliau musim ini.

Mattia Valotti merapatkan kedudukan tetapi SPAL, yang berada di tangga kedua dari bawah liga, gagal mengelak kekalahan kesembilan mereka  musim ini.

Jurulatih Inter, Antonio Conte, kini membimbing Inter memenangi 12 dari 14 perlawanan liga, kali pertama buat kelab untuk merampas kembali tangga teratas liga yang mereka pegang sehingga tewas 1-2 kepada Juventus pada 6 Oktober.

“Apabila sebuah pasukan seperti Juventus tercicir mata, anda harus memastikan anda mengambil sepenuh peluang yang ada,” kata Conte, yang juga bekas jurulatih Juventus.

Di Turin, Leonardo Bonucci membuka jaringan awal buat Juventus tetapi Jeremie Boga dan Francesco Caputo meletakkan Sassuolo di hadapan sebelum gol penamaan Ronaldo.

Sassuolo, yang berada di tangga ke-12 liga, membawa pulang mata pertama mereka di Juventus.

“Kami menimbulkan masalah kepada diri kami sendiri, kami tidak menggunakan kepala kami dalam separuh masa pertama, seperti yang ditunjukkan ketika bolos gol,” kata Sarri.

“Tetapi kami bermain selepas dua perlawanan di mana kami menggunakan banyak tenaga menentang Atalanta dan Atletico Madrid. Kami hanya tersedar apabila ketinggalan.”

Penjaga gol veteran, Gianluigi Buffon, mengharungi malam yang mengecewakan.

Penjaga gol berusia 41 tahun itu membuat penampilan kelima beliau musim ini, meletakkan beliau kurang dua perlawanan dari rekod Paolo Maldini yang membuat 647 penampilan dalam Serie A.

Boga menjaringkan gol pertama Sassuolo pada minit ke-22 selepas Buffon terlalu awal keluar dari posisinya dan gol kedua juga dari kesilapan apabila gagal menangkap kemas rembatan Caputo ekoran kekeliruan dengan dua pemain pertahanannya, Juan Cuadrado dan Matthijs de Ligt.

Berbeza dengan penjaga gol Sassuolo berusia 18 tahun Sassuolo, Stefano Turati membuat penampilan sulung memberangsangkan apabila menepis satu tendangan percuma Ronaldo selain cubaan Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala pada lewat permainan untuk mengekalkan kedudukan sehingga ke wisel penamat.

Penalti Ronaldo memastikan Juventus mengikat kedudukan pada minit ke-68 selepas Filippo Romagno mengasari Dybala.

Lazio mengekalkan kedudukan di tangga ketiga – tujuh mata di belakang Inter – selepas menewaskan Udinese 3-0 menerusi dua gol dari penjaring terbanyak liga, Ciro Immobile, termasuk satu tendangan penalti untuk menjaringkan 17 gol musim ini. Satu lagi gol Lazio dijaringkan Luis Alberto, juga dari satu tendangan penalti.

AS Roma naik ke tangga keempat, dua mata di belakang Lazio selepas menewaskan Verona 3-1 tetapi Napoli masih gagal mencari rentak apabila tanpa kemenangan dari lapan perlawanan dalam semua pertandingan selepas tewas 1-2 kepada Bologna di tempat sendiri.

Ia adalah kemenangan pertama Bologna sejak 27 Oktober dengan jurulatihnya, Sinisa Mihajlovic kembali ke bangku simpanan selepas menjalani pembedahan sumsum tulang ketika terus melawan penyakit leukemia.

AC Milan, yang bergelut di tangga ke-11 liga, mencipta kemenangan pertama mereka dalam tempoh sebulan apabila menewaskan Parma 1-0. — AFP

Advertisement