Anda di sini

Dewan serba guna, jalan penghubung akan dibina di Kampung Sebako

Advertisement
 Yusuf menyampaikan sumbangan hadrah dan pakaian kepada kumpulan hadrah Kampung Sebako sebaik selesai menyempurnakan penutupan Fiq Ibadah dan Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Kampung Sebako, semalam.
MANFAATKAN: Yusuf menyampaikan sumbangan hadrah dan pakaian kepada kumpulan hadrah Kampung Sebako sebaik selesai menyempurnakan penutupan Fiq Ibadah dan Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Kampung Sebako, semalam.

SARIKEI: Sebuah dewan serba guna bernilai RM350,000 akan dibina di Kampung Sebako pada tahun depan, kata Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Wahab.

Katanya, pembinaan dewan itu adalah untuk manfaat penduduk di kawasan terbabit terutama untuk menampung keperluan dalam penganjuran sesebuah majlis atau aktiviti kemasyarakatan yang lain.

“Selain pembinaan dewan tersebut, jalan dari Kampung Sebako ke jalan utama juga akan diteruskan dan apabila siap nanti penduduk kampung tidak perlu lagi melalui jalan ladang untuk ke Tanjung Manis, Sibu dan Sarikei.

“Pada masa yang sama juga, kerja-kerja menggantikan paip-paip air rosak dan musnah dalam kebakaran tanah gambut bulan Ogos lalu yang menjejaskan bekalan air di Kampung Bruit, Kampung Tekajong dan Kampung Penipah akan dimulakan dalam masa terdekat dan siap selewat-lewatnya awal Januari depan,” katanya.

Yusuf berkata demikian ketika berucap menyempurnakan penutupan Fiq Ibadah dan Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Kampung Sebako di sini, semalam.

Pada majlis itu Yusuf turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 bagi membiayai program Fiq Ibadah dan Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Kampung Sebako.

Menurutnya, penganjuran program seperti itu diharap dapat mengembali dan meningkatkan lagi semangat anak-anak muda dalam menyemai semangat cintakan keislaman dengan penuh jiwa dan raga dan mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

“Aspek keagamaan merupakan elemen terpenting dalam kehidupan setiap individu muslim.

“Justeru, ia perlu menjadi pegangan bahkan wajar ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Generasi muda Islam harus menjadikan ajaran al-Quran sebagai landasan untuk mencapai kejayaan dalam semua bidang termasuk pendidikan.

“Golongan muda perlu menjadikan al-Quran sebagai perkara paling asas untuk membimbing mereka menjadi seorang muslim sejati,” ujarnya lagi.

Advertisement