Anda di sini

‘Datuk’ pecah rekod AMAC Ke-21  

Advertisement
Radna bangga menerima hadiah di atas podium.
Radna bangga menerima hadiah di atas podium.



KUCHING: Usia lanjut bukan penghalang kepada atlet dari Mongolia, Radna Tsereen untuk menaiki podium dalam acara 400 meter lelaki (M85) pada Kejohanan Olahraga Masters Asia (AMAC) ke-21 2019 yang berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya hari ini.

Lebih manis, atlet berusia 85 tahun berstatus ‘datuk’ itu berjaya memecah rekod kejohanan dengan catatan masa 1:21.82 saat, memadam rekod lama 1:31.94 dicatat pada 2012 oleh Hiroo Tanaka dari Jepun.

Tempat kedua disandang pelari India, Manickam S.S.P manakala Hiroo Tanaka merangkul tempat ketiga.

“Saya memang tidak menjangka dapat memenangi perlumbaan ini kerana tidak meletakkan sebarang sasaran.

“Ini kali pertama saya bertanding di kejohanan ini. Sudah tentu saya sangat gembira kerana dapat memenanginya dan satu bonus kepada saya kerana dapat memecah rekod kejohanan.

"Pada usia seperti ini, stamina memang menjadi cabaran utama. Apa yang saya lakukan adalah mengekalkan kecergasan dengan sentiasa menjalani latihan dan menjaga pemakanan,” kata ayah kepada 10 anak itu ketika ditemui pemberita.

Menurut Radna, beliau juga pernah memenangi acara 400 meter termasuk lompat kijang pada kejohanan dunia di Poland pada 2018.

Atlet kebangsaan Mongolia itu juga sering mewakili negaranya dalam pelbagai kejohanan olahraga ketika zaman kegemilangannya seperti Sukan Asia, kejohanan dunia dan banyak lagi.

Sementara itu, hari kedua AMAC ke-21 hari ini mempertandingkan beberapa lagi acara balapan dan padang membabitkan peserta lelaki dan wanita dari pelbagai peringkat usia.

Antaranya 100m berhalangan, 400 meter, merejam lambing, lompat kijang, lompat tinggi, 80 meter berhalangan dan 110 meter berhalangan. 

 

  • oleh
  • Advertisement