Anda di sini

Dagang Net eScroll kini boleh digunakan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dagang Net eScroll, sebuah aplikasi web diperkasakan lejer digital terbuka untuk mengesahkan sijil kini boleh digunakan bagi membolehkan majikan, graduan, universiti dan penyedia latihan untuk mengesahkan sijil akademik dan latihan.

Ketua Lejer Digital Terbuka DNeX Group Zainal Abidin Mohd Jais berkata aplikasi itu menyediakan sijil tandatangan unik dan dicap pada masa nyata, yang dapat membanteras pemalsuan, tidak seperti dokumen tradisional berasaskan kertas.

“Setiap sijil ditandakan dengan kod QR yang dipautkan kepada platform lejer digital terbuka untuk memastikan pangkalan data yang selamat, tidak berubah dan tidak mudah dipalsukan. Institusi yang mengeluarkan (sijil), menyimpan sijil yang telah didaftarkan ke atas lejar digital terbuka menerusi kod QR.

“Keaslian sijil itu boleh disahkan dengan hanya mengimbas kod QR. Sehubungan itu, proses verifikasi adalah mudah dan telus,” katanya kepada Bernama.

Menurut Zainal, lejer digital terbuka itu adalah lejer digital teragih yang merekodkan transaksi dengan berkesan menerusi kaedah yang dapat ditentusahkan dan kekal.

Teknologi lejar digital terbuka juga boleh disifatkan sebagai sebuah rangkaian komputer di mana kesemuanya mempunyai salinan yang sama daripada pangkalan data teragih serta menukar rekod menerusi persetujuan bersama berdasarkan algoritma matematik yang kompleks.

“Lejer digital terbuka tidak memerlukan sebarang pelayan berpusat bagi membolehkan perkongsian tanggung jawab antara pelbagai pihak yang menyertai sistem itu. Tidak seperti pangkalan data yang biasa, lejer digital terbuka tidak mempunyai kaedah ujian tanpa musnah serta tidak berubah untuk mengesan perubahan data dari masa ke masa,” katanya.

Zainal berkata eScroll diwujudkan untuk menawarkan kepada penyedia pendidikan, pekerja, pelajar dan pihak lain sijil rasmi yang memberi bukti mendapat pengijazahan secara cekap dan pantas.

“Sistem sedia ada untuk berkongsi dan mengeluarkan sijil rasmi adalah perlahan dan rumit yang mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Lejer digital terbuka dijangka merevolusikan bukti kelayakan akademik kerana ia membolehkan individu untuk memiliki dan berkongsi rekod rasmi mereka sendiri,” katanya.

Menurut Zainal, rekod digital yang didaftarkan di lejer digital terbuka ditandatangani secara kriptografi dan tidak boleh diubah untuk mengelakkan penipuan.

“Suatu masa dahulu, saya pernah membaca sindiket menjual sijil palsu universiti dan saya yakin lejer digital terbuka merupakan penyelesaian kepada masalah ini. Universiti mendapat manfaat daripada teknologi ini untuk melindungi produk paling berharga iaitu graduan dan memberi nilai tambah kepada reputasi mereka,” katanya.

Baru-baru ini, Dagang Net menandatangani Memorandum Perjanjian dengan empat universiti di Indonesia dan satu institusi profesional di Malaysia untuk melaksanakan Dagang Net eScroll.

Menerusi perjanjian itu, Universitas 45 Mataram, Universitas Nahdlatul Ulama, Sekolah Tinggi Ilmu Kesihatan Mataram dan Universitas Teknologi Sumbawa akan mengeluarkan sijil graduasinya yang dilengkapi Dagang Net eScroll.

“Selain itu kami turut berbincang dengan beberapa universiti dan penyedia latihan yang menunjukkan reaksi positif terhadap Dagang Net eScroll.

“Kami mempunyai rancangan besar untuk Dagang Net eScroll dan berharap dapat berkongsi lebih banyak berita baik mengenai pelaksanaannya kelak,” kata Zainal.

Selain universiti, kolej dan penyedia latihan, beliau berkata DNeX juga berhasrat bekerjasama dengan  majikan termasuk beberapa syarikat terkemuka, khususnya yang berhasrat menambah baik proses pengambilan pekerja untuk menggabungkan pengesahan sijil latihan dan akademik calon-calon dengan berkesan. — Bernama

Advertisement