Anda di sini

Atlet judo Sarawak sasar kilauan pingat di Manila

 Brenton (kanan) mengadakan ‘sparring’ dengan atlet judo Sarawak Soh Yew Ing semasa latihan.
GIGIH: Brenton (kanan) mengadakan ‘sparring’ dengan atlet judo Sarawak Soh Yew Ing semasa latihan.

KUCHING: Atlet judo negara dari Sarawak, Brenton Sim Yi Quan menyasarkan kilauan pingat pada penampilan keduanya dalam temasya Sukan SEA Filipina edisi ke-30 yang berlangsung dari 4 hingga 7 Disember ini di Manila.

Pada kemunculan pertama di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Brenton bertanding dalam ketegori Individu Lelaki 81kg namun kalah pada peringkat separuh akhir dan menduduki tempat kelima selepas tewas dalam pusingan repechage.

“Ya, saya amat berharap untuk memenangi pingat pertama dalam Sukan SEA Filipina kali ini. Saya akan menyertai acara Berpasukan Lelaki 81kg.

“Malaysia mempunyai peluang cerah untuk memenangi pingat dalam acara ini namun kita perlu menghadapi cabaran sengit daripada pasukan seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

“Saya harap dapat menang dalam semua acara untuk memberi pasukan negara mata berharga dan berharap kita boleh menamatkan saingan dalam kelompok tiga teratas,” katanya baru-baru ini.

Dalam acara berpasukan yang pertama kali diperkenalkan dalam sejarah Sukan SEA, lima atlet judo dari setiap negara akan bertanding sesama sendiri dengan pemenang dikira mengikut format tiga perlawanan terbaik.

Brenton, 26, memilih sukan judo sebagai subjek kokurikulum ketika belajar di Sekolah Menangah Chung Hua Middle School No.1, Kuching sejak berusia 13 tahun.

Beliau merupakan juara empat kali kebangsaan dalam acara 81kg Lelaki (2015, 2016, 2018, 2019) dan merupakan pemegang perak pada 2017.

Brenton menggondol gangsa dalam kategori berat sama pada SUKMA Melaka 2010 dan emas pada SUKMA XV, SUKMA XVI dan pada Terbuka Antarabangsa Terengganu pada 2017.

Sambil melanjutkan penganjian di peringkat ijazah sarjana jurusan Sains Kesihatan Sukan di University of Taipei, beliau turut menyertai Terbuka Taipei namun gagal mara ke peringkat final.

Brenton juga menyertai Terbuka Antarabangsa Pulau Pinang pada 2018 di mana beliau berjaya meraih perak dalam kategori 81kg Lelaki.

Dilantik sebagai jurulatih oleh Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) pada Mei tahun ini, Brenton komited dalam misi melahirkan lebih ramai atlet berpotensi untuk menghadapi SUKMA Johor pada tahun depan dan edisi seterusnya.

“Saya berlatih di dojo Persatuan Judo Sarawak (PJS) dalam persediaan menghadapi Sukan SEA dan ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden PJS Francis Chan dan Timbalannya Alvin Lau, Nyam Sze Yung dan MSNS atas sokongan moral dan kewangan.

“Terima kasih kepada nenek saya, pakcik, ahli keluarga dan rakan yang sentiasa menyokong karier saya,” tambah Brenton.