Anda di sini

AMAC 2019 bermula, 2,500 atlet bersaing

Advertisement
 Nyalaan obor menandakan bermulanya Kejohanan Olahraga Master Asia Ke-21 di Stadium Sarawak semalam. — Gambar Chimon Upon
TRADISI: Nyalaan obor menandakan bermulanya Kejohanan Olahraga Master Asia Ke-21 di Stadium Sarawak semalam. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kejohanan Olahraga Masters Asia Ke-21 (AMAC) 2019 membuka tirai secara rasmi semalam di Stadium Sarawak di sini.

Majlis pembukaan rasmi disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di hadapan 2,500 atlet dari 29 negara.

Dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari mengalu-alukan kedatangan para atlet dan pegawai ke kejohanan berkenaan.

“Kejohanan ini adalah platform terbaik untuk semua atlet berinteraksi dan mengukuhkan solidariti dalam kalangan mereka.

“Diharapkan para atlet yang menggambil bahagian dalam kejohanan ini akan memberi contoh baik kepada generasi muda,” katanya.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan negeri menerusi kementeriannya sentiasa menyokong penganjuran acara sukan di negeri ini.

Sarawak katanya, tidak asing dalam menganjurkan acara sukan antarabangsa dan melabur banyak dana dalam pembinaan fasiliti sukan bertaraf antarabangsa.

Dalam pada itu AMAC 2019 berlangsung dari 2 hingga 7 Disember di dua tempat utama iaitu Stadium Negeri dan Stadium Sarawak.

Anjuran Persatuan Olahraga Masters Malaysia (MMAA) dengan kerjasama kerajaan negeri, para atlet akan bersaing dalam pelbagai acara olahraga dan balapan.

Kontinjen Malaysia disertai 330 atlet berusia antara 35 hingga 100 tahun.

Selain Malaysia kejohanan ini turut disertai atlet dari China, India, Indonesia, Korea Selatan, Jepun, Iran, Singapura dan lain-lain.

  • oleh
  • Advertisement