Anda di sini

132 peserta sertai pelbagai program anjuran KEMAS

Advertisement
 Noni (duduk tengah) bersama tetamu kehormat serta para peserta program merakamkan gambar kenangan.
KENANGAN: Noni (duduk tengah) bersama tetamu kehormat serta para peserta program merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Seramai 132 peserta daripada 10 kampung menyertai pelbagai program pendidikan kemahiran anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kota Kinabalu sepanjang tahun ini.

Program latihan kemahiran jangka pendek sepanjang tahun itu diadakan bagi memberi bimbingan dan kemahiran untuk membolehkan peserta memperluaskan serta mempertingkatkan lagi ilmu pengetahuan masing-masing.

Antara kampung yang terbabit dalam program berkenaan adalah Kampung Sinulihan, Kampung Kironggu, Kampung Inanam Laut, Kampung Bambangan, Kampung Tobur, Kampung Kobuni, Kampung Rampayan, Kampung Tatahan dan Kampung Nountun serta Kampung Malawa dalam kawasan Parlimen Sepanggar.

Pengerusi Majlis Penasihat Wanita merangkap Pengerusi Peniaganita Sabah Datuk Noni Mohd Said berkata, ilmu pengetahuan seseorang amat penting ketika melakukan sesuatu perniagaan.

Katanya, kemahiran yang diperolehi pada program berkenaan bukan sahaja mampu menjana pendapatan keluarga tetapi juga secara tidak langsung mendorong peningkatan ekonomi negara.

“Diharap, segala yang dipelajari seperti kursus jahitan, masakan dan pembuatan kraf tangan dapat diteruskan sebagai salah satu usaha menjana pendapatan keluarga.

“Malah sekiranya produk bersesuaian, Peniaganita Sabah boleh membantu memasarkan produk mereka melalui program-program tertentu,” katanya ketika merasmikan Majlis Hari Penyampaian Sijil Pendidikan Kemahiran KEMAS, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, kemahiran dalam pelbagai jurusan yang disediakan khusus untuk masyarakat luar bandar juga dapat membantu meningkatkan kualiti hidup mereka selain memupuk budaya berniaga.

Sementara itu, wakil peserta Francis Kinsui berkata, beliau mewakili semua peserta amat berterima kasih kepada usaha yanag diberikan oleh KEMAS.

Katanya, segala tunjuk ajar, bimbingan dan motivasi yang diterapkan sepanjang kursus itu akan dimanfaatkan dalam usaha menambahbaik kehidupan masyarakat bandar ataupun luar bandar.

“Kita berharap, kursus seperti ini akan dapat diteruskan kerana ia sangat memberi manfaat yang cukup baik untuk masyarakat.

“Oleh itu, kita berharap program kursus KEMAS seperti ini diperbanyakkan lagi di kampung-kampung terutamanya dalam kawasan Parlimen Sepanggar,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement