Anda di sini

Sukan SEA diancam Kammuri

Advertisement
 Orang ramai mengambil gambar menggunakan telefon bimbit masing-masing ketika delegasi tuan rumah berjalan ke atas pentas semasa upacara pembukaan penuh gilang gemilang di Philippine Arena di Bocaue, lewat kelmarin. — Gambar Reuters
MENGAGUMKAN: Orang ramai mengambil gambar menggunakan telefon bimbit masing-masing ketika delegasi tuan rumah berjalan ke atas pentas semasa upacara pembukaan penuh gilang gemilang di Philippine Arena di Bocaue, lewat kelmarin. — Gambar Reuters

CLARK: Filipina sudah mula memindahkan ribuan orang, kata pegawai tempatan semalam, selepas taufan kuat melanda dari perairan Pasifik, dengan membawa hujan lebat, ribut kencang dan mengancam tempat berlangsungnya Sukan SEA.

Pejabat kaji cuaca menjangka Taufan Kammuri akan melanda negara itu pada petang ini (Isnin) atau pagi Selasa, dengan membawa ribut selaju 170 kilometer sejam (ksj) dan angin maksimum selaju 140 ksj.

Taufan memasuki negara Filipina pada petang kelmarin, sejurus sebelum Presiden Rodrigo Duterte dan bintang tinju Manny Pacquiao melancarkan temasya Sukan berkenaan dengan majlis perasmian yang berwarna-warni.

Temasya Sukan pada tahun ini di Clark, Manila dan Subic, yang akan berlangsung sehingga 11 Disember, khususnya rumit dengan rekod 56 sukan di puluhan buah tempat yang, dalam beberapa kes, berada beberapa jam perjalanan kereta dari satu sama lain, walaupun sebelum mengambil kira faktor kesesakan trafik yang buruk di Manila.

Penganjur menyatakan pelan kontingensi sudah disediakan bagi taufan, termasuk kemungkinan membatalkan acara luar di temasya Sukan itu, yang kebanyakannya berlangsung di pulau utama Filipina di Luzon di utara negara.

Beberapa unit kerajaan tempatan di wilayah tengah Bicol sudah mula memindahkan penduduk.

Lebih 800 buah keluarga (kira-kira 3,000 hingga 4,000 orang) sudah pun berada di pusat evakuasi, kebanyakannya di sekolah dan gimnasium di Camarines Norte, kata pejabat pengurusan bencana wilayah.

Pegawai tempatan masih memindahkan penduduk dari beberapa kawasan, dan jumlah dijangka akan meningkat, tambah pejabat tersebut.

Kebanyakan mereka yang dipindahkan tinggal di kawasan pantai dan tempat rendah di mana banjir kilat dan tanah runtuh boleh berlaku kerana hujan lebat yang akan dibawa oleh taufan.

Semua ini merupakan evakuasi awal dan arahan belum dibuat lagi bagi evakuasi mandatori, kata pejabat pengurusan bencana.

Kelas sekolah dan kerja dalam kerajaan di beberapa buah bandar juga sudah digantung untuk hari ini dan Selasa kerana menjangkakan hujan hebat.

Filipina, yang kali terakhir menganjurkan Sukan SEA pada 2005, mahu memenangi paling banyak pingat, dan sejarah memihak kepada mereka di mana tujuh daripada 11 negara terakhir yang menganjurkan Sukan SEA telah menduduki carta pingat, seterusnya mencerminkan tradisi menulis semula program sukan untuk memenuhi kekuatan tempatan.

Pasukan tuan rumah bermula dengan amat baik sekali semalam apabila mereka memenangi beberapa pingat emas dalam pertandingan ‘Dancesport’ dan menduduki tempat teratas carta pingat sejurus selepas jam 1.00 tengah hari dengan 13 pingat pada keseluruhannya.

Kira-kira 8,750 atlet dan pegawai pasukan dijangka menyertai edisi ke-30 ini yang terbesar dalam sejarah penganjurannya, dengan kira-kira 12,000 sukarelawan.

Penganjur berharap lebih 500 juta penonton akan mengikuti perkembangan menerusi TV.

Dalam program yang eklektik, sukan Olimpik seperti renang dan olahraga duduk bersebelahan dengan sukan kegemaran tempatan seperti seni pertahanan pencak silat, artis dan wushu, dan pada tahun ini, atlet malah akan bertarung di litar lumba berhalangan di Manila. — AFP

Advertisement