Anda di sini

Sambut strategi kerajaan untuk atasi kemiskinan 

 
Dr Mahathir  (dua, kanan) menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra Perdana, Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan). - Gambar Bernama
Dr Mahathir (dua, kanan) menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Putra Perdana, Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan). - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Strategi yang digariskan kerajaan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta usaha untuk menambah pendapatan akan membantu golongan miskin keluar daripada kepompong kemiskinan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama menggariskan strategi bagi mengurangkan jarak kemiskinan antara yang kaya dan miskin serta antara kaum.

Melalui usaha serta bantuan kerajaan dalam bentuk seperti pinjaman modal dan latihan berkaitan perniagaan, Dr Mahathir berkata beliau yakin golongan miskin dapat menambah pendapatan.

"Mereka yang miskin kena terima cadangan-cadangan kerajaan untuk mereka berusaha atasi kemiskinan mereka. Mereka yang miskin boleh diperkayakan, ditambah pendapatan mereka dengan cara mereka berusaha.

"Kalau dari satu punca (pendapatan) mereka tidak dapat atasi masalah mereka, kita perlu tentukan ada punca lain yang memberi pendapatan kepada mereka,” katanya pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Dr Mahathir turut meminta para pegawai kerajaan untuk memberi penerangan kepada golongan miskin mengenai kepentingan berusaha selain memberi bimbingan bagi membantu golongan itu keluar daripada kemiskinan. 

"Kalau mereka dapat mengatasi kemiskinan mereka, maka dapatlah negara kita bangun dengan pesatnya dan mungkin juga kita akan termasuk dalam kalangan negara maju seperti kita lihat di timur seperti Jepun, Korea Selatan dan China.

"Tidak ada satu pun yang datang melayang, tidak ada yang datang bergolek, semua perlu usaha daripada kita. Oleh itu, tukarlah cara kita mengatasi masalah kita, khususnya berkenaan dengan kemiskinan," kata perdana menteri.

Dr Mahathir berkata walaupun terdapat perusahaan dan syarikat besar yang memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang daif, namun tidak semua kilang-kilang itu mampu memberi peluang pekerjaan yang mencukupi.

Beliau memberi contoh perusahaan kain tudung yang menjadi antara perniagaan berjaya sehingga pengusahanya mampu bergelar jutawan serta perniagaan makanan dalam botol yang dijual dengan label bermutu.

"Inilah cara untuk atasi kemiskinan. Kalau mereka berusaha sendiri dengan bantuan kerajaan seperti pinjaman modal, latihan berkaitan perniagaan dan sebagainya, saya yakin mereka yang miskin dapat menambah pendapatan," katanya.

Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman lawatan rasmi pertamanya ke Korea Selatan pada minggu lepas tentang perbezaan kemajuan antara Malaysia dan negara itu.

Menurutnya, Korea Selatan pada satu ketika dahulu berada di belakang Malaysia dari segi pembangunan dan belajar dari Malaysia namun hari ini mereka menjadi negara maju.

Menurutnya, pendapatan per kapita Korea Selatan ketika ini adalah US$36,000 manakala Malaysia hanya US$10,000. - Bernama