Anda di sini

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Anifah Aman

Advertisement
ANIFAH AMAN
ANIFAH AMAN

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum lepas, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya kecil di kawasan itu. 

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya.

Hakim Tengku Maimun berkata Mahkamah Pilihan Raya tidak melakukan kekhilafan dalam penemuan faktanya.

Beliau berkata terdapat percanggahan dalam proses pemilihan dan ketidakpatuhan undang-undang pilihan raya yang telah menjejaskan keputusan undi.

Beliau memerintahkan Anifah membayar kos RM70,000 kepada calon Parti Warisan Sabah, Datuk Karim Bujang.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Nallini Pathmanathan.

Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 Ogos tahun ini mengisytiharkan kemenangan Anifah di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen itu pada 18 Jun untuk mencabar keputusan pilihan raya tersebut.

Anifah, bekas menteri luar, memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi apabila memperoleh 11,942 undi berbanding Karim 11,786 undi. 

Seorang lagi calon, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah memperoleh 1,300 undi.

Dalam perkembangan lain, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi Parlimen Kimanis, Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata pilihan raya kecil (PRK) Kimanis perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima akuan daripada mahkamah mengenai keputusan itu.

Mesyuarat bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK itu pula mesti diadakan dalam tempoh tidak kurang daripada empat hari dan tidak lebih daripada 10 hari dari tarikh penerimaan akuan tersebut, katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

Mahkamah Persekutuan semalam menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Parlimen Kimanis pada PRU14 tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Pada PRU14, Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi. Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

Sementara itu, Azhar berkata SPR akan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan insiden ketidakpatuhan peraturan pilihan raya sehingga menjejaskan keputusan pilihan raya.

"Sebelum ini pun, Akademi Pilihan Raya yang bertanggungjawab melatih petugas-petugas pilihan raya telah diarahkan untuk memberi penekanan terhadap hal ini.

"Perlu dilihat bahawa sejak PRU14, tidak ada lagi apa-apa tuduhan perlanggaran peraturan-peraturan pilihan raya oleh petugas-petugas pilihan raya pada sembilan pilihan raya kecil (PRK)," katanya.

  • oleh
  • Advertisement