Anda di sini

Laporan Audit: Pengurusan Skim Subsidi dan Insentif Pesawah tidak dilaksana dengan berhemat 

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengurusan Skim Subsidi dan Insentif Pesawah bagi meningkatkan bekalan beras negara tidak dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 2, 2018.

Menurut laporan yang dikeluarkan hari ini, terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pendaftaran pesawah, pemberian subsidi dan insentif kepada golongan sasar, kelewatan pembayaran tuntutan pembekal, kelewatan menandatangani kontrak, isu kualiti benih padi dan kelewatan penghantaran baja.

Ia antara penemuan audit yang dijalankan antara Januari hingga Ogos 2019 bagi Skim Subsidi dan Insentif Pesawah yang dilaksanakan bertujuan meningkatkan pengeluaran beras tempatan untuk memenuhi keperluan negara.

Bagaimanapun, didapati pengeluaran hasil padi bagi tahun 2016 hingga 2018 tidak mencapai sasaran tahunan yang ditetapkan.

Pengeluaran hasil padi tahunan menurun antara 2.7 juta tan metrik (1.4 peratus) hingga 2.57 juta tan metrik (8.5 peratus) bagi tempoh yang sama. Purata produktiviti padi bagi tempoh sama juga tidak mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 3.7 tan metrik sehektar berbanding lima tan metrik sehektar.

Perkara ini berlaku disebabkan penurunan keluasan penanaman padi, kualiti benih padi merosot dan serangan penyakit tanaman padi. Bagaimanapun, purata kekerapan penanaman padi yang dicapai adalah 1.75 kali melepasi sasaran yang telah ditetapkan iaitu 1.57 kali.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menetapkan sasaran tahap sara diri (SSL) bagi tahun 2016 hingga 2018 adalah 85 peratus, 80 peratus dan 80 peratus. Pihak audit mendapati SSL yang ditetapkan tidak dapat dicapai bagi tiga tahun berturut-turut dengan berlaku penurunan antara 7.6 peratus hingga 14.7 peratus disebabkan penurunan pengeluaran hasil padi dan produktiviti padi sehektar,” menurut laporan itu.

Secara keseluruhannya, laporan ketua audit itu merumuskan bahawa  pengurusan Skim Subsidi dan Insentif Pesawah bagi meningkatkan bekalan beras negara tidak dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan.

“Ini kerana kawalan dalaman yang lemah dalam pendaftaran pesawah. Kelemahan ini menyebabkan berlakunya ketirisan dalam pelaksanaan pemberian subsidi dan insentif kepada golongan sasar.

“Selain itu, berlaku kelemahan dari segi kelewatan pembayaran tuntutan pembekal, kelewatan menandatangani kontrak, isu kualiti benih padi dan kelewatan penghantaran baja,” menurut laporan itu.

Justeru, laporan itu mengesyorkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menilai semula sistem ePadi untuk memastikan kawalan yang mantap agar pangkalan data adalah utuh bagi memastikan pesawah yang berdaftar adalah individu yang layak selain perlu menyeragamkan sistem pengurusan subsidi dan insentif sedia ada di setiap agensinya.

“Kementerian juga perlu menjalankan siasatan terhadap isu pemberian subsidi dan insentif kepada pesawah yang telah meninggal dunia dan nombor kad pengenalan penerima tidak wujud atau tidak lengkap tetapi masih menerima subsidi serta mengambil tindakan segera ke atas tuntutan denda terhadap baja yang tidak mengikut spesifikasi dan kelewatan pembekalan baja supaya dapat dikenakan kepada pembekal pada tahun semasa,” katanya. - Bernama 

Advertisement