Anda di sini

Kerajaan Sarawak rancang bangunkan perumahan penjawat awam Persekutuan, negeri

Advertisement
Abang Johari memotong riben sebagai simbolik perasmian Pejabat CUEPACS Sarawak di Jalan  Bampfyle Kuching. Turut kelihatan (belakang, dari dua kiri) Ahmad dan Azih. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari memotong riben sebagai simbolik perasmian pejabat CUEPACS Sarawak di Jalan Bampfylde Kuching. Turut kelihatan (belakang, dari dua kiri) Ahmad dan Azih. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak akan mendapatkan input dan cadangan daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak bagi membangunkan perumahan mampu milik untuk penjawat awam Persekutuan dan negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata input daripada CUEPACS perlu bagi mengenal pasti lokasi kawasan akan dibangunkan bagi tujuan itu serta harga rumah yang mampu milik.

"Kita perlu berbincang untuk mendapatkan input daripada CUEPACS dan perkhidmatan awam negeri untuk mengenal pasti beberapa tempat untuk membangunkan perumahan mampu milik atau harga berpatutan bagi penjawat awam persekutuan dan negeri.

"Umpamanya seperti di Kemuyang Sibu, kita bangunkan rumah mampu milik yang tidak hanya eksklusif kepada (ahli) CUEPACS tetapi semua yang layak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bangunan Pejabat CUEPACS Negeri Sarawak di Jalan Bampfylde di sini, hari ini.

Abang Johari berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan CUEPACS untuk mendapatkan senarai ahli yang berminat atau layak membeli rumah berkenaan.

Menjelas lanjut, kawasan perumahan berkenaan juga mungkin akan dibangunkan di kawasan baharu yang dibuka di Kuching dengan syarat ia mempunyai akses perhubungan baik.

"Kita perlu membuat perancangan yang teliti supaya projek perumahan ini benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasaran," tambahnya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya Abang Johari berkata kerajaan negeri akan mengambil kira permintaan CUEPACS negeri untuk membangunkan kawasan perumahan untuk dijual kepada kakitangan awam Persekutuan di negeri ini.

"Saya akan ambil kira kerana kita akan membuka jalan baharu, satu jalan yang akan dibangunkan Samarahan ke Kuching melalui Kampung Tanjung Bako. Bermakna kita akan membuka kawasan baharu.

"Mungkin kita boleh membangunkan rumah di kawasan itu tetapi beri masa kepada saya dahululah, jalan berkenaan masih di peringkat reka bentuk, kalau tiada masalah ia akan dibangunkan dalam masa tiga atau empat tahun akan datang dengan syarat saya masih ketua menteri," ujarnya sambil berseloroh.

Beliau menambah dengan adanya perhubungan yang baik kawasan perumahan boleh dibangunkan di luar bandar raya Kuching.

Menurutnya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang Autonomous Rail Rapid Transit (ART) akan beroperasi di bandar raya ini.

Penggunaan ART katanya akan memendekkan masa perjalanan ke pusat bandar raya Kuching.

Hadir sama, Presiden CUEPACS Malaysia Datuk Azih Muda, Pengerusi CUEPACS Sarawak Ahmad Malie, Setiausaha Persekutuan Sarawak Mohd Shahabuddin Omar dan Pengarah Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Negeri Sarawak Kamarolzaman Muhid.

  • oleh
  • Advertisement