Anda di sini

John Boyega tertinggal skrip filem ‘Star Wars’ baru di bawah katil

 The Force Awakens’ di Shanghai, China, pada 27 Disember 2015. — Gambar Reuters
GAMBAR FAIL: John Boyega (kiri) semasa tiba untuk tayangan perdana China filem ‘Star Wars: The Force Awakens’ di Shanghai, China, pada 27 Disember 2015. — Gambar Reuters

PELAKON British John Boyega baru-baru ini berkata dia meninggalkan salinan skrip yang dikawal ketat bagi filem ‘Star Wars’ baharu di bawah katilnya, dan ia akhirnya dijual dalam eBay.

Boyega, yang membawa watak Stormtrooper yang bertukar menjadi pejuang pemberontakan Finn dalam ‘Star Wars: The Rise of Skywalker’, memberitahu program televisyen AS ‘Good Morning America’ bahawa seorang tukang cuci menjumpai skrip itu dan meletakkannya di dalam laman lelongan eBay.

Pengarah J.J. Abrams berkata pada awal minggu lepas bahawa pasukan di sebalik filem itu mengesan penyenaraian eBay itu dan mendapatkannya semula sebelum ia dapat dijual, yang bermakna rahsia dalam jalan cerita masih selamat.

“Saya berpindah pangsapuri dan saya meninggalkan skrip di bawah katil saya. Saya kata, tahu tak, saya akan meninggalkannya di bawah katil saya,” kata Boyega.

“Apabila saya bangun pada sebelah pagi, saya akan mengambilnya dan pindah, tetapi rakan-rakan saya datang dan, anda tahu, kami mula berparti sedikit dan kemudian skrip itu, ia terus kekal di sana.”

“Kemudian beberapa minggu selepas seorang tukang cuci masuk, menjumpai skrip itu dan kemudian meletakkannya dalam eBay untuk harga 65 pound (British). Jadi individu itu tidak tahu nilainya yang sebenar,” tambahnya.

Skrip untuk filem ‘Star Wars’ adalah antara yang paling dikawal ketat dalam dunia filem.

Ramai pelakon hanya mendapat bahagian dalam skrip untuk babak mereka yang khusus sahaja dan pengkritik tidak diberi peluang untuk melihat filem itu lebih awal.

Boyega berkata malah dia sendiri tidak tahu bagaimana filem itu akan berakhir, yang menamatkan saga Skywalker yang mula-mula dihidupkan dalam filem asal pada 1977.

“Saya sebenarnya tidak tahu kerana kami membuat penggambaran bagi beberapa perkara yang berlainan,” katanya.

“Saya ingin tahu. Saya rasa saya menonton filem itu pada minggu depan buat pertama kali.”

Filem terbitan Disney ‘The Rise of Skywalker’ memulakan tayangan di seluruh dunia pada 18 Disember dan dijangka dapat mengaut sebanyak AS$200 juta di box office Amerika Utara pada hujung minggu pembukaan, menurut majalah Variety.

Bintangnya termasuk dua pelakon asal ‘Star Wars’, Mark Hamill dan mendiang Carrie Fisher, dengan wataknya sebagai Princess Leia yang diolah selepas dia tiba-tiba meninggal dunia pada 2016 dengan menggunakan rakaman yang tidak digunakan dari filem terakhirnya ‘Star Wars: The Last Jedi’. — Reuters