Anda di sini

Jagalah kebersihan sungai

Advertisement
 Lee (kanan) bersama tetamu lain melakukan simbolik perasmian Kempen Kebersihan Sungai Miri di Kampung Pengkalan Lutong semalam.
PASTIKAN BERSIH: Lee (kanan) bersama tetamu lain melakukan simbolik perasmian Kempen Kebersihan Sungai Miri di Kampung Pengkalan Lutong semalam.

MIRI: Jangan jadi masyarakat pengotor kerana Sungai Miri bukan tong sampah yang boleh dijadikan tempat pembuangan sisa plastik, botol dan sebagainya, tegas Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin.

Beliau kesal kerana masih ramai penduduk Miri yang menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah sedangkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah menyediakan tong sampah.

"Sungai Miri dan Sungai Lutong pernah tersenarai antara 10 sungai tercemar di Sarawak pada paras empat, bagaimanapun menerusi kempen-kempen kebersihan sungai yang dijalankan maka Miri terkeluar daripada senarai terbabit," katanya pada Kempen Kebersihan Sungai Miri di Dewan Kampung Pengkalan Lutong semalam.

Lee berkata, meskipun begitu masih terdapat penduduk yang tinggal berhampiran sungai kurang kesedaran malah menjadikan Sungai Miri dan Lutong lokasi pembuangan sampah.

"Sungai dan pantai yang tercemar dengan longgokan sampah akan menjejaskan imej Miri sebagai bandar raya pelancongan, usaha penjagaan kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan bukannya diletakkan di bahu agensi kerajaan sahaja," jelasnya.

ADUN Senadin itu memberitahu, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LLS) telah mengadakan banyak kempen kesedaran penjagaan sungai di kampung dan rumah panjang.

Namun usaha itu tidak akan bermakna jika hanya LSS serta agensi kerajaan tempatan yang terlibat tanpa penyertaan bersama masyarakat tempatan.

"Masyarakat perlu bersama-sama berganding bahu untuk menjaga kebersihan sungai dan daratan kerana kita perlu memastikan pantai serta sungai di Miri sentiasa bersih dan bebas daripada pencemaran," jelasnya.

Tambah beliau, kempen-kempen kebersihan sungai perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti airnya sentiasa bersih dan tidak 'menyakitkan' mata pelancong.

"Kita tidak mahu kempen hanya berhenti di sini sebaliknya kempen-kempen penjagaan dan pemulihan sungai dilaksanakan secara berterusan agar sungai sentiasa terjamin dan selamat," tegasnya.

Malah katanya, penduduk setempat juga perlu mengubah sikap dan tabiat membuang sampah merata-rata termasuk ke dalam sungai yang akhirnya menjurus kepada pencemaran.

Turut hadir Pengerusi LSS Dr Murni Suhaili, Pemangku Kontroler Ding Tiew Wong, Ketua Kaum Kampung Pengkalan Lutong Ali Basah serta kaunselor MBM.

  • oleh
  • Advertisement