Anda di sini

Filem ‘Waves’ papar tentang kemaskulinan toksik, dijangka buat kejutan di Oscar 2020

Advertisement

INDUSTRI perfileman Hollywood, yang terkial-kial disebabkan oleh pergerakan #MeToo, telah meletakkan kemaskulinan toksik di bawah lampu limpah pada tahun ini dengan beberapa buah filem mengenai dinamika bapa-anak lelaki yang dicalonkan untuk anugerah Oscar.

Daripada Joaquin Phoenix dalam ‘Joker’ hingga kepada filem Brad Pitt ‘Ad Astra’, ramai selebriti senarai A telah menerima watak-watak yang mengetengahkan kerosakan yang disebabkan oleh usaha anak-anak lelaki untuk membuat bapa-bapa mereka suka kepada mereka.

Namun tiada yang telah menangani tema itu dengan lebih kejam dan lebih peribadi berbanding ‘Waves’, drama bebas mengenai kematangan remaja yang diramal akan menjadi kuda hitam (membuat kejutan) di Anugerah Oscar.

Filem itu, yang menceritakan tentang sebuah keluarga kulit hitam kelas pertengahan di Miami yang berpecah-belah selepas tragedi berlaku, dipuji sebagai “satu tumbukan ‘knockout’” oleh akhbar New York Times dan sebuah “filem epik intim” oleh akhbar The Hollywood Reporter.

Pengarahnya Trey Edward Shults memilih bapa tirinya sendiri sebagai model bagi ketua keluarga yang tegas dalam filem itu, di mana cara bapa itu memberi latihan yang terlalu bersemangat menyebabkan kecederaan yang mengerikan dalam sukan gusti sekolah tinggi – trauma yang didramakan dalam filem itu, sehingga menjurus kepada kesan-kesan yang buruk.

“Ia merupakan satu kisah amaran tentang idea kemaskulinan tradisional,” kata Shults, 31 tahun, kepada AFP.

“Kita tidak perlu membina luaran yang lasak ini – kita boleh lemah, kita boleh berkomunikasi.”

Digambarkan sebagai sebuah filem yang ‘Membingungkan dan Mengelirukan’ bagi generasi Instagram, filem itu menunjukkan bagaimana jangkaan agar remaja lelaki cekal, senyap dan tabah masih bertahan dalam budaya Amerika.

Ia dikeluarkan pada bulan ini oleh A24, syarikat penerbitan bebas di sebalik filem yang memenangi anugerah Oscar ‘Moonlight’, yang berkongsi latar belakang dan beberapa tema dengan ‘Waves’.

Shults berkata dia membentuk watak utama selepas bertukar-tukar cerita dengan bintang, Kelvin Harrison, anak kepada seorang pemuzik yang cuba tetapi gagal untuk mendesaknya mengikuti jejak langkahnya.

“Kami akan melakukan perkara seperti sesi terapi yang intensif ini ... dia bercakap mengenai keadaan minda bapanya, bapa bapanya, dari mana perkara itu datang.”

Akibat daripada tekanan itu membawa kepada apa yang disebut oleh Shults sebagai “tragedi mutlak” pada pertengahan filem.

- ‘BEGITU MENAKUTKAN’ -

Kemudian, lawatan satu lagi watak yang was-was untuk berdamai dengan bapa kandungnya yang nazak di hospital diambil secara langsung dari kehidupan pengarah sendiri.

Membuat penggambaran bagi babak itu “begitu menakutkan”, kata Shults, yang menambah jalan cerita mengenai seorang remaja lelaki yang diheret ke katil hospital oleh teman wanitanya selepas bertahun-tahun tidak berkomunikasi adalah “sama sekali” dengan kehidupannya sendiri.

“Ia umpama ketakutan menyeluruh yang seperti tendangan pada perut anda, menghidupkan semula perkara paling traumatik ... Ia melegakan emosi. Tetapi ia sukar.”

Filem itu telah menimbulkan kontroversi dalam beberapa bahagian kerana pengarahnya berkulit putih.

Kebanyakan adegannya yang sayu tentang pengalaman kulit hitam dibentuk oleh Harrison dan bapanya di atas skrin Sterling K. Brown (‘This Is Us’).

Namun Shults – dengan adik-adik tiri yang berkulit hitam – berkata dia tidak mula dengan hasrat untuk menulis tentang sebuah keluarga kulit hitam sehingga Harrison menyertai mereka, dan politik perkauman sentiasa sekunder berbanding tema kesedihan keluarga yang bersifat sejagat.

Malah kaum bertindak hanya untuk menghuraikan dorongan si bapa yang kuat untuk berjaya. Berkulit hitam bermakna “kita tidak diberi kemewahan untuk menjadi sederhana”, kata si bapa kepada anaknya dalam satu pertengkaran.

“Semua itu adalah Kel (Harrison). Semua itu adalah bersama bapanya. Mereka mengadakan perbualan yang sama seperti itu,” kata Shults, yang mengakui bahawa cubaan untuk menggambarkan pengalaman sebuah keluarga Afrika-Amerika adalah menakutkan.

“Ia rasa seperti satu tanggungjawab yang tinggi.” — AFP

Advertisement