Anda di sini

China wajibkan imbasan muka pengguna telefon

Advertisement
 Gambar hiasan menunjukkan seorang lelaki menggunakan telefon pintar. — Gambar AFP
PADANAN POTRET: Gambar hiasan menunjukkan seorang lelaki menggunakan telefon pintar. — Gambar AFP

BEIJING: China mewajibkan pengusaha telekom untuk mengumpul imbasan muka apabila mendaftar pengguna telefon baharu di kedai luar talian bermula semalam, menurut lembaga teknologi maklumat negara, dalam usaha berterusan Beijing untuk memperketatkan kawalan ruang siber.

Pada September lalu, kementerian teknologi maklumat dan industri China mengeluarkan notis mengenai usaha untuk melindungi kepentingan dan hak sah warga negara dalam talian, yang menggariskan peraturan untuk menguatkuasakan pendaftaran nama sebenar.

Notis itu menyebut pengusaha telekom harus menggunakan kepintaran tiruan (AI) dan kaedah teknikal lain” untuk mengesahkan identiti orang apabila mereka mendapatkan nombor telefon baharu.

Seorang wakil khidmat pelanggan China Unicom memberitahu AFP bahawa syarat padanan potret pada 1 Disember bermakna pelanggan yang mendaftar untuk nombor telefon baharu mungkin perlu merekodkan diri memusingkan kepala mereka dan mengenyitkan mata.

“Dalam langkah seterusnya, kementerian kami akan terus mempertingkatkan penyeliaan dan pemeriksaan, dan menggalakkan dengan tegas pengurusan pendaftaran nama sebenar bagi pengguna telefon,” kata notis pada September itu.

Walaupun kerajaan China sudah menggalakkan pendaftaran nama sebenar bagi pengguna telefon sejak sekurang-kurangnya 2013, yang bermakna kad pengenalan dihubungkan dengan nombor telefon baharu, usaha untuk menggunakan AI diambil ketika teknologi pengecaman wajah semakin menjadi tarikan di seluruh China di mana teknologi itu digunakan untuk segalanya daripada daftar keluar pasar raya hingga kepada pengawasan.

Dalam talian, pengguna media sosial China menunjukkan pelbagai reaksi termasuk sokongan dan rasa bimbang mengenai notis pengesahan wajah bermula 1 Disember, dan ada yang menyuarakan kekhuatiran bahawa data biometrik mereka boleh dibocorkan atau dijual.

“Ini agak keterlaluan,” tulis seorang pengguna dalam Weibo ala Twitter, dalam ulasan di bawah satu artikel mengenai peraturan baharu itu.

Sementara penyelidik telah memberi amaran tentang risiko privasi yang dikaitkan dengan usaha untuk mengumpul data pengecaman wajah, pengguna pada umumnya menerima teknologi itu walaupun China menyaksikan salah satu tindakan undang-undang pertama ke atas pengecaman wajah pada bulan lepas.

Pada awal November lepas, seorang profesor di China memfailkan satu tuntutan terhadap sebuah taman safari di Hangzhou, wilayah timur Zhejiang, kerana mewajibkan imbasan wajah untuk masuk, menurut mahkamah tempatan.

Selain pengguna telefon bimbit, laman media sosial di China, Weibo, terpaksa melancarkan pendaftaran nama sebenar pada 2012.

Pengawasan ke atas media sosial telah dipertingkatkan sejak beberapa tahun lalu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan China untuk menggalakkan perkembangan Internet yang sihat dan teratur, melindungi keselamatan negara dan kepentingan awam. — AFP

Advertisement