Anda di sini

CDC Asia-Pasifik 2020 tangani cabaran kepimpinan dalam era kepesatan digital

KUALA LUMPUR: Keadaan turun naik, ketidaktentuan, kerumitan dan ketidakjelasan susulan kepesatan pendigitalan yang kini memberi kesan kepada semua aspek kepimpinan dan pengurusan organisasi akan dibincangkan dalam Persidangan Pengarah Korporat (CDC) Asia-Pasifik 2020.

Persidangan selama tiga hari itu, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini mulai 20 April, 2020, merupakan bersama Perikatan Pengarah-pengarah Korporat Malaysia (MACD) dan Persatuan Kebangsaan Pengarah Korporat (NACD) dari Amerika Utara.

Pengerusi Penganjuran, Paul W. Chan, yang juga presiden MACD, berkata persidangan ini bertujuan mengenal pasti penyelesaian kolektif terhadap cabaran tadbir urus yang muncul dalam era perubahan dramatik, yang dikenali sebagai Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

“Tumpuan persidangan ini terarah kepada Tadbir Urus 4.0. Sekiranya anda berasakan ini merupakan isu penting kepada semua pihak dan mereka mempunyai pandangan yang kukuh, maka anda tidak bersendirian.

“Lembaga pengarah organisasi di seluruh dunia, tanpa mengira struktur industri dan syarikat, semakin bimbang terhadap amplitud dan skop peralihan yang sedang berlaku dan ramai yang mencari kaedah untuk membantu organisasi mereka secara lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata CDC Asia-Pasifik 2020 akan menghimpunkan pengarah korporat, pelabur dan pengawal selia untuk membincangkan usaha menangani kuasa disruptif yang menjejaskan lembaga pengarah dan syarikat mereka di seluruh rantau ini.

“Para peserta akan mempelajari antara satu sama lain dan daripada pakar terkemuka mengenai apa yang perlu dilakukan untuk kekal relevan dan berkesan semasa menghadapi IR4.0,” katanya.

Chan berkata lebih 30 penceramah jemputan dari Asia, Amerika Utara dan Eropah akan membentangkan pelbagai topik yang meliputi perkembangan terbaru dalam tadbir urus korporat.

Lebih 500 wakil dari seluruh dunia dijangka hadir dan lebih 40 pempamer akan mengetengahkan perisian, perkakasan, dan perkhidmatan mereka yang menyokong lembaga pengarah menjalankan tugas mereka, katanya.

“MACD dan NACD juga merupakan dua rakan pengasas dalam Rangkaian Institut Pengarah Global (GNDI), yang mempunyai rakan-rakan perwakilan di lebih 21 negara dari enam benua, menjadikannya rangkaian pengarah korporat terbesar dan paling global.

“Diharapkan semua ahli GNDI akan menghantar wakil mereka ke persidangan ini di samping terlibat secara aktif dalam perbincangan panel untuk memberikan perspektif negara masing-masing mengenai topik utama,” katanya. — Bernama