Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka saksikan dagangan berhati-hati

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan secara berhati-hati minggu ini berikutan isu berkaitan Hong Kong serta ketidaktentuan mengenai perjanjian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata penganalisis.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Asia, AxiTrade, Stephen Innes berkata isu rang undang-undang Hong Kong masih berlarutan, manakala pelabur semakin bimbang sementara menunggu perkembangan lanjut perjanjian perdagangan AS-China pada Disember, yang telah ‘menakutkan’ pasaran ekuiti pada minggu yang baru berakhir.

Beliau berkata secara keseluruhan pasaran memantau sebarang laporan perkembangan rundingan perdagangan tersebut.

Sekiranya tarikh diumumkan bagi perbincangan itu serta penangguhan tarif untuk Disember ditetapkan secara jelas, maka FBM KLCI dapat bergerak semula kepada paras 1,600, bagaimanapun banyak ‘kemungkinan’ yang diperlu dihadapi, katanya kepada Bernama.

Pada Rabu, Presiden AS Donald Trump memeterai dua rang undang-undang yang menyokong penunjuk perasaan Hong Kong.

Rang undang-undang itu diperkenalkan untuk memelihara hak dan autonomi Hong Kong, namun satu daripadanya mengandungi peruntukan yang akhirnya boleh menjejaskan ekonomi AS, China dan Hong Kong.

Kedua-dua rang undang-undang yang ditandatangani oleh Trump melibatkan kajian semula tahunan autonomi bandar tersebut dari China dan menyekat penjualan senjata kepada polis Hong Kong, seperti gas pemedih mata dan peluru getah.

Bursa Malaysia menyaksikan dagangan tidak menentu bagi minggu yang baru berakhir, seiring dengan prestasi pasaran serantau, terutamanya disebabkan kebimbangan mengenai konflik terkini AS-China berhubung perundangan AS yang menyokong prodemokrasi Hong Kong.

Indeks utama mengakhiri bulan ini dengan prestasi susut 22.03 mata pada Jumaat, dipengaruhi oleh aktiviti jualan luas terutamanya dalam saham teknologi, utiliti dan telekomunikasi di tengah-tengah pengimbangan semula portfolio akhir bulan oleh dana asing.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI merosot 35.10 mata kepada 1,561.74 daripada 1,596.84 minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 235.64 mata kepada 11,092.85, Indeks FBMT 100 susut 229.19 mata kepada 10,909.30, Indeks FBM Emas Syariah kurang 277.63 mata kepada 11,592.50, FBM 70 merosot 225.73 mata kepada 13,877.88 dan Indeks FBM Ace menguncup 136.70 mata kepada 4,754.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 217.57 mata kepada 15,331.62 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.62 mata kepada 149.91, manakala Indeks Perladangan susut 110.73 mata kepada 7,067.27.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 13.17 bilion unit bernilai RM11.20 bilion daripada 13.41 bilion unit bernilai RM10.18 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 8.39 bilion unit bernilai RM10.05 bilion daripada 8.94 bilion unit bernilai RM6.84 bilion pada minggu sebelumnya.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 1.63 bilion unit bernilai RM316.22 juta berbanding 1.61 bilion unit bernilai RM333.33 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 3.15 bilion unit bernilai RM832.85 juta daripada 2.86 bilion unit bernilai RM592.59 juta. — Bernama

Advertisement