Anda di sini

Semua Pasukan Bomba Sukarela akan didaftarkan di bawah JBPM

Advertisement
Hamdan (barisan belakang, tengah) merakam kenangan bersama juara keseluruhan iaitu PBS Labuan pada  majlis penutupan Konvensyen PBS Peringkat Zon Borneo di Kuching hari ini.
Hamdan (barisan belakang, tengah) merakam kenangan bersama juara keseluruhan iaitu PBS Labuan pada majlis penutupan Konvensyen PBS Peringkat Zon Borneo di Kuching hari ini.

KUCHING: Kesemua 397 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di seluruh negara akan didaftarkan tidak lama lagi di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas Parlimen meluluskan Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2018 pada tahun lalu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, sebelum ini PBS didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Namun sekarang, katanya, jabatan itu akan mengambil alih pendaftaran PBS melalui pegawai pendaftar jabatannya.

"PBS ini akan kita alihkan daripada ROS kepada Jabatan Bomba supaya kita dapat mengawal dan menguruskan mereka agar peraturan pentadbirannya dapat diatur dan disusun dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutupan Konvensyen PBS Peringkat Zon Borneo Tahun 2019 di Ibu Pejabat JPBM Sarawak di Tabuan Jaya di sini, hari ini.

Untuk rekod, katanya, PBS mempunyai keanggotaan kira-kira 15,000 ahli menerusi 397 pasukan bomba itu di seluruh negara dan 47 daripadanya adalah di Sarawak.

"Mereka datang dari pelbagai latar belakang, duduk (mendiami) di kawasan tersebut dan telah berdaftar di bawah ROS pada masa ini," ujarnya.

Beliau berharap apabila semua PBS sudah dipindahkan ke Jabatan, prestasi JBPM dalam menangani kecemasan secara keseluruhan akan dipertingkatkan.

JBPM menurutnya akan menggunakan PBS dalam setiap operasi bomba termasuk operasi pra kecemasan, respon dan pasca kecemasan.

Terdahulu, Hamdan dalam ucapannya berkata PBS merupakan langkah strategik JBPM untuk memendekkan masa tindak balas kepada penduduk terjejas terutamanya di kawasan luar yang jauh dari Balai Bomba dan Penyelamat.

Daripada 113,000 panggilan kecemasan yang diterima pada tahun 2018, katanya sejumlah 8,500 panggilan diuruskan oleh PBS.

“Meskipun angka nampak rendah, namun sumbangan ini sangat bermakna terutamanya bagi penduduk di rumah-rumah panjang dan pendalaman dalam menangani musibah seperti kebakaran,” katanya sambil menggesa PBS untuk terus membantu Jabatan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Seramai 16 PBS dari Zon Borneo yang merangkumi 12 dari Sarawak dan 4 dari Sabah mengambil bahaian dalam konvenyen tersebut.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Khirudin Drahman dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin.

  • oleh
  • Advertisement