Anda di sini

Polis buru lelaki tikam tiga remaja di lebuh beli-belah The Hague

 Pegawai forensik memeriksa untuk mencari petunjuk di lokasi di mana seorang lelaki menikam tiga remaja di lebuh beli-belah utama di The Hague, Belanda kelmarin. — Gambar Reuters
PERIKSA: Pegawai forensik memeriksa untuk mencari petunjuk di lokasi di mana seorang lelaki menikam tiga remaja di lebuh beli-belah utama di The Hague, Belanda kelmarin. — Gambar Reuters

THE HAGUE: Polis Belanda sedang memburu seorang penyerang yang menikam tiga remaja di lebuh beli-belah utama The Hague ketika orang ramai mencari tawaran yang murah pada hari jualan ‘Black Friday’.

Penyerang lelaki itu melari-kan diri selepas insiden yang berlaku di sebuah gedung beli-belah di bahagian tengah bandar raya yang menyebabkan keadaan huru-hara di kalangan pengunjung.

“Kami kini sedang meng-ambil kira semua senario,” seorang jurucakap polis dipetik sebagai berkata oleh agensi berita ANP mengenai serangan itu, yang berlaku beberapa jam selepas dua orang mati dalam satu serangan tikaman yang ada kaitan dengan terorisme di London.

Ketiga-tiga mangsa adalah remaja, kata polis, tetapi tidak memaklumkan usia mereka. Semua mereka kemudian dibenarkan pulang dari hospital.

Serangan tikaman itu berlaku di gedung beli-belah Hudson’s Bay di Grote Marktstraat, kawasan beli-belah terbesar di bandar raya berkenaan, yang dipenuhi jenama dan peruncit besar.

Dua gadis remaja berlari ke dalam gedung selepas ditikam, badan penyiaran NOS memetik saksi sebagai berkata.

“Saya melihat dua gadis menjerit dan lari. Seorang lelaki lari. Dia melompat di atas bangku dengan tangkas untuk melarikan diri. Dia kelihatan seperti seekor cheetah,” kata seorang saksi kepada NOS.

“Orang cuba lari, tetapi ia tidak berjaya. Saya terkejut.”

Polis pada mulanya memberi deskripsi seorang lelaki yang mereka cari berusia di antara 40 hingga 50 tahun tetapi kemudian menarik balik deskripsi tersebut, dengan menyatakan mereka masih menyiasat.

“Kami masih mencari pesalah,” kata mereka, dan menambah mereka sedang menjalankan “siasatan yang meluas”.

Imej dalam media sosial menunjukkan pelanggan lari dalam keadaan huru-hara dari tempat kejadian, di sebuah lebuh runcit waktu malam yang diterangi cahaya pari-pari Krismas.

Orang ramai berkumpul di belakang sekatan polis di lebuh tersebut, kata seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

Helikopter polis terbang di udara dan beberapa kenderaan kecemasan berada di lokasi, kata wartawan tersebut.

Serangan itu berlaku tidak jauh dari parlimen, yang merupakan pusat kerajaan bagi Belanda dan menempatkan banyak organisasi antarabangsa.

Kedutaan Amerika Syarikat telah memberi amaran kepada warga negaranya di The Hague untuk mengelak kawasan kejadian kerana “laporan tentang satu insiden keselamatan” dan meminta mereka untuk memaklumkan keluarga bahawa mereka selamat.

Belanda pernah menyaksi-kan siri komplot dan sera-ngan ganas, tetapi setakat ini tidak pada skala kejadian yang berlaku di negara lain di Eropah.

Pada Mac lalu empat orang maut apabila seorang lelaki kelahiran Turki melepaskan tembakan dalam sebuah trem di bandar Utrecht.

Polis Belanda pada Isnin lepas menangkap dua suspek yang disyaki pelampau, seorang daripadanya di The Hague, dan mendakwa mereka atas tuduhan merancang serangan menggunakan bom kereta dan bom bunuh diri.

Pada awal bulan ini seorang lelaki Pakistan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana berkomplot untuk membunuh ahli politik haluan kanan di Belanda, Geert Wilders. — AFP