Anda di sini

Lingga dibuka sebagai kawasan pertanian moden Sarawak 

Abang Johari (dua kiri) selesai melakukan upacara pecah tanah Projek Pembangunan Tebingan Sungai dan Pusat Perkhidmatan Lingga di Pekan Sri Aman hari ini. - Gambar Facebook rasmi Sharifah Hasidah
Abang Johari (dua kiri) selesai melakukan upacara pecah tanah Projek Pembangunan Tebingan Sungai dan Pusat Perkhidmatan Lingga di Pekan Sri Aman hari ini. - Gambar Facebook 

SRI AMAN: Kerajaan negeri akan membuka kawasan Lingga di sini sebagai kawasan pertanian moden di negeri ini. 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kawasan Lingga berpotensi untuk pertanian secara besar-besaran. 

Ini termasuk kawasan Stumbin sampai ke Simanggang  yang mana akan dibuka dengan  pertanian untuk 'food basket' Sarawak. 

"Sekarang kita import RM4.7 bilion bahan makanan termasuk jagung untuk makanan ternakan haiwan. 

"Sebab itu saya minta Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan rakan-rakan, gunakan teknologi untuk keluarkan bahan makanan. 

"Kita ada kawasan Stumbin, Lingga sampailah ke Simanggang bagi membuka pertanian secara besar-besaran untuk 'food basket'," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Tebingan Sungai dan Pusat Perkhidmatan Lingga di Pekan Sri Aman di sini hari ini. 

Bagi membuka kawasan Lingga sebagai pertanian moden, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menurut Abang Johari mempunyai perancangan dalam masa lima tahun bermula 2020 hingga 2025. 

Pertama katanya kerajaan negeri akan membina jalan dari Lingga menuju ke Bandar Simanggang.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga akan membuat  satu lagi jalan raya dari Lingga ke Betong dan dari Lingga ke Sebuyau terus ke Trisio. 

"Inilah masa depan kita dalam masa lima tahun dari 2020 hingga 2025. 

"Tetapi kita mesti ada kerajaan yang kuat dan kita di Sarawak satu-satunya kerajaan yang berfokus," katanya. 

Dalam pada itu, selain merasmikan dua projek tersebut yang bernilai RM10 juta, Abang Johari turut melancarkan GPS Lingga. 

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion; Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri.