Anda di sini

Dua mati ditikam di London Bridge

Advertisement
 Anggota polis membantu mangsa yang cedera selepas seorang lelaki bersenjatakan pisau menikam beberapa orang di London Bridge di London, Britain kelmarin. — Gambar Daniel Sorabji/AFP
CEDERA: Anggota polis membantu mangsa yang cedera selepas seorang lelaki bersenjatakan pisau menikam beberapa orang di London Bridge di London, Britain kelmarin. — Gambar Daniel Sorabji/AFP

LONDON: Seorang lelaki yang disyaki menikam dua orang sehingga mati dalam satu serangan ganas di London Bridge merupakan seorang bekas banduan yang disabit kesalahan atas tuduhan terorisme dan dilepaskan pada tahun lepas, kata polis semalam.

Lelaki bersenjatakan pisau itu, yang memakai alat letupan yang disyaki palsu, ditembak mati oleh polis selepas serangan waktu siang kelmarin yang turut menyaksikan orang awam campur tangan untuk cuba merampas pisaunya.

Tiga orang lagi cedera dalam serangan tikaman itu yang berlaku tidak sampai dua minggu sebelum Britain mengundi dalam pilihan raya umum, dan menghidupkan semula memori mengenai satu serangan oleh tiga lelaki dua tahun lalu di London Bridge yang mengorbankan lapan orang.

Polis menamakan suspek sebagai Usman Khan, 28, dan berkata mereka tidak mencari suspek lain secara aktif berhubung insiden itu.

“Individu ini dikenali pihak berkuasa, selepas di-sabit kesalahan pada 2012 atas tuduhan terorisme. Dia dilepaskan dari penjara pada Disember 2018 dengan lesen,” Neil Basu, ketua kepolisan anti-terorisme UK, menyebut dalam satu kenyataan.

Pada 2012 Khan, dari Stoke di bahagian tengah England, dipenjara bersama lapan orang lain dari sebuah kumpulan pengganas yang diilhamkan oleh Al-Qaeda yang telah berkomplot untuk mengebom sasaran termasuk Bursa Saham London.

Dia dijatuhi hukuman minimum penjara selama lapan tahun dan turut didapati bersalah membuat rancangan jangka lebih panjang termasuk mengambil bahagian dalam “latihan pengganas” di Pakistan.

Basu berkata Khan telah menghadiri satu acara pada petang kelmarin di Fish-monger’s Hall, sebuah bangunan bersejarah di bahagian utara jambatan di bahagian tengah ibu negara.

“Kami percaya serangan itu bermula di dalam sebelum dia meninggalkan bangunan dan pergi ke London Bridge, di mana dia ditahan dan seterusnya didepani dan ditembak pegawai bersenjata,” katanya.

Rakaman yang dibuat oleh saksi dan dikongsikan dalam media sosial menunjukkan sekumpulan orang memasung suspek di atas jambatan sebelum polis tiba.

Seorang lelaki, yang memakai sut dan tali leher, kelihatan membawa sebilah pisau besar daripada kumpulan tersebut.

Pemandu pelancongan Stevie Hurst, yang lari dari keretanya ke tempat kejadian, memberitahu radio BBC “semua orang berada di atasnya untuk cuba menahannya di bawah”.

“Saya melihat pisau masih dalam tangannya, jadi saya meletakkan sebelah kaki di dalam untuk cuba menendang kepalanya: kami cuba melakukan sedaya upaya untuk cuba melepaskan pisau,” katanya.

Ketua Polis Metropolitan Cressida Dick berkata dia “amat sedih dan marah bahawa bandar raya kita sekali lagi disasari terorisme”.

Serangan itu berlaku hanya beberapa jam sahaja sebelum tiga remaja ditikam di sebuah lebuh beli-belah utama di bahagian tengah bandar raya The Hague di Belanda, sebelum mangsa dibenarkan pulang dari hospital kemudian.

Ia tidak segera jelas sama ada kedua-dua insiden itu ada kaitan ataupun tidak.

Basu berkata Khan tinggal di daerah Staffordshire, tengah England, dan pegawai sedang mencari satu alamat di kawasan tersebut.

Sewaktu serangan, dia memakai teg elektronik yang digunakan untuk memantau pesalah jenayah, menurut satu laporan dalam akhbar British, The Times.

Dia juga mengikat alat pada badannya yang polis percaya adalah “alat letupan palsu”.

Acara di Fishmonger’s Hall dipanggil ‘Learning Toge-ther’, kata Basu – sebahagian daripada projek yang dikendalikan oleh ahli akademik di institut kajian jenayah Universiti Cambridge.

Naib Canselor Stephen Toope berkata dia “sedih sekali” kerana kakitangan, pelajar dan bekas pelajar universiti mungkin telah disasari dalam serangan itu.

Lewat kelmarin, jambatan berkenaan terus ditutup, dan bas yang dikosongkan tidak bergerak dan pegawai forensik berada di lokasi kejadian.

Pada 4 November lalu, Britain menurun taraf ancaman terorisme daripada “teruk”, kedua tertinggi daripada lima taraf, kepada “cukup serius” – penarafan terendah dalam tempoh lebih lima tahun.

Serangan di London Bridge pada 2017 melibatkan pe-lampau dalam sebuah van yang melanggar pejalan kaki di jambatan itu sebelum menyerang orang secara rambang dengan pisau di Borough Market yang berdekatan.

Lapan orang maut dan 48 lagi cedera. Tiga penyerang terbabit, yang memakai alat bunuh diri palsu, ditembak mati oleh polis. — AFP

Advertisement