Anda di sini

Sebak mohon kurang jamin kerana mahu jaga anak

 Muhammad Yusuf (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Temerloh semalam atas tuduhan mencederakan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun. — Gambar Bernama
WAJAH SAYU: Muhammad Yusuf (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Temerloh semalam atas tuduhan mencederakan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun. — Gambar Bernama

TEMERLOH: Seorang warga Indonesia sebak semasa meminta mahkamah mengurangkan jaminan terhadapnya yang didakwa atas tuduhan mencederakan anak perempuannya, pada minggu lepas.

Muhammad Yusuf, 47, memberitahu Majistret Ti Pei Si bahawa dia telah menjaga tiga anaknya dengan baik apabila memperoleh hak jagaan terhadap tiga anaknya selepas bercerai dengan isterinya sejak 2015.

“Saya mohon dikurangkan jaminan kerana saya mahu dijamin. Sepanjang saya menjaga anak, tidak pernah berlaku masalah. Tolonglah kurangkan jamin kerana saya hanya kerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan tidak menentu.

“Harap mahkamah pertimbangkan rayuan saya. Saya bekerja untuk menanggung anak-anak. Saya mahu dijamin kerana semua anak saya yang jaga,” katanya selaku Orang Kena Saman (OKS) pada prosiding di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Muhammad Yusuf terdahulu mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan anaknya yang berusia sembilan tahun, Arisya Dania yang didakwa berlaku pada jam 4.00 petang, 22 Nov lepas di sebuah rumah di Taman Setia Jasa di sini.

Dia, yang memiliki pas residen negara ini, didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Mengikut Seksyen 323, dia boleh dipenjara maksimum setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum di bawah Seksyen 323.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin rakyat tempatan yang bukan terdiri daripada saksi pendakwaan berserta syarat OKS menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa.

Ti selepas mempertimbangkan rayuan itu, menetapkan jaminan RM4,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia dan membenarkan syarat dimohon pihak pendakwaan selain memerintahkan OKS melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Beliau juga menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 Dis ini.

Media pada 22 Nov lepas, melaporkan seorang lelaki didakwa memukul anak bongsunya yang dikatakan berpunca kerana mangsa membawa pulang makanan tidak dijamah yang disediakannya untuk majlis sekolah. — Bernama