Anda di sini

Penyakit tidak berjangkit masih meningkat biarpun promosi, pendidikan kesihatan giat dijalankan

Advertisement
Dr Dzulkefly ditemani Chong menyampaikan beg sekolah kepada murid sempena program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Stampin di Kampung Tematu.
Dr Dzulkefly ditemani Chong menyampaikan beg sekolah kepada murid sempena program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Stampin di Kampung Tematu.

KUCHING: Penyakit tidak berjangkit (NCD) yang merupakan penyebab utama kematian pramatang di Malaysia ketika ini masih menunjukkan peningkatan meskipun promosi dan pendidikan kesihatan giat dijalankan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Jabatan Statistik Malaysia melaporkan penyakit jantung iskemik masih lagi merupakan penyebab utama kematian pada tahun lalu dengan purata 50 kematian sehari berbanding 37 kematian pada 2017.

"Jumlah kematian ini meningkat sebanyak 35 peratus iaitu 18,267 kematian pada 2018 berbanding 13,503 kematian pada 2017," katanya pada majlis pelancaran Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Stampin di Dewan Serbaguna Kampung Tematu di sini, hari ini.

Malah, Dr Dzulkefly memberitahu, Tinjauan Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2015 mendapati 30 peratus rakyat Malaysia dewasa menghidap hipertensi dan hampir 20 peratus mengalami masalah diabetes. 

"Komplikasi penyakit ini boleh menyebabkan penyakit jantung koronari yang mana insiden penyakit ini di Malaysia dianggarkan sebanyak 141 kes bagi 100,000 penduduk. 

"Saya bertanggungjawab mengingatkan, separuh dari kes diabetes dan hipertensi ini adalah 'undiagnosed,' di mana pesakit tidak tahu yang mereka berpenyakit, tidak mengambil sebarang rawatan dan lebih teruk lagi, masih meneruskan amalan gaya hidup yang tidak sihat. 

"Akibatnya, penyakit mereka bertambah serius dan akhirnya mendapat komplikasi seperti sakit buah pinggang, kebutaan, 'gangrene' anggota tangan atau kaki, selain menjadi punca kepada penyakit jantung koronari yang saya maklumkan tadi," jelasnya.

Berasaskan situasi ini, beliau menegaskan, KKM memandang serius kepentingan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit. 

Katanya, kerajaan telah memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) berumur 40 tahun ke atas, yang mana aktiviti saringan penyakit tidak berjangkit merupakan salah satu komponen utama skim ini.

Tambah beliau, KKM juga menjalankan program-program komuniti berkaitan NCD yang menekankan aspek saringan seperti KOSPEN dan 'Enhanced Primary Health Care' (EnPHC) yang mana aktiviti saringan dilakukan oleh pasukan sukarelawan terbabit. 

"Saya menyeru semua pihak untuk mengambil bahagian secara aktif dalam  aktiviti program-program ini dan gunakanlah kemudahan-kemudahan yang disediakan ini ke arah kehidupan sihat sejahtera bebas dari penyakit tidak berjangkit atau komplikasi penyakit tidak berjangkit," katanya lagi.

Mengenai Program Kampungku Sihat, Dr Dzulkefly berkata, ia merupakan satu inisiatif baharu KKM dalam memberikan penekanan kepada umum tentang masalah kesihatan awam terkini dengan penglibatan secara langsung pihak pengurusan tertinggi KKM dan pemimpin masyarakat dalam memberikan mesej kesihatan yang berkaitan. 

Beliau menjelaskan, pengisian program yang terdiri dari lawatan ke rumah dan di beberapa lokasi statik oleh pasukan perubatan dan kesihatan bertujuan menyampaikan mesej kepentingan melakukan ujian saringan kesihatan bagi mengesan faktor risiko penyakit tidak berjangkit. 

Di samping itu, katanya, penyebaran maklumat asas pencegahan dan hebahan tentang program-program dan inisiatif komuniti yang dijalankan oleh KKM turut diberi penekanan bagi menarik lebih ramai penyertaan kumpulan sasaran.

Untuk kawasan Parlimen Stampin, dedahnya, seramai 444 penduduk disaring yang mana 68 peratus daripada jumlah itu dikesan mempunyai darah tinggi tidak terkawal.

Selain itu katanya, sebanyak 85 peratus daripada 208 pesakit yang pernah disahkan kencing manis dari Stampin adalah kategori tidak terkawal.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly menjelaskan, kementeriannya akan mengumpul maklumat lanjut berhubung isu kadar caj bayaran di klinik swasta yang dikatakan berbeza jika dibayar secara tunai dengan kad insurans.

"Saya perlu dapatkan maklumat berkaitan terlebih dahulu sebelum saya memberi penjelasan lanjut, KKM ambil berat tentang perkara ini dan mana-mana pesakit yang mengalami masalah ini boleh lapor kepada kementerian," ujarnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement