Anda di sini

Penjawat awam Sarawak terima bonus 18 Disember ini - Jaul

Advertisement
Jaul (kiri) ditemai Pengarah Unit Sumber Manusia Sarawak Ismail Mohamad Hanis ditemui pemberita di sini, hari ini.

KUCHING: Kakitangan awam Sarawak akan menerima bantuan khas kewangan bersamaan dua bulan gaji atau minimum RM2,000 pada 18 Disember ini sebelum perayaan Hari Krismas. 

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion berkata, bonus itu akan dibayar pada hari sama penjawat awam negeri menerima gaji.

"Ia akan dibayar sebelum Krismas, 18 Disember, sama hari mereka (penjawat awam) terima gaji.

"Kita sedang bercakap tentang 16,000 penjawat awam negeri dari pelbagai kategori dari pengurusan hingga profesional dan pengurusan sokongan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menangguhkan Karnival Kesihatan Perkhidmatan Awam Sarawak di bangunan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini,  hari ini.

Bagaimanapun, Jaul berkata, bantuan khas itu tidak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun kerana ia bergantung kepada prerogatif ahli-ahli lembaga masing-masing.

"PBT dan badan berkanun akan memutuskan perkara ini sendiri. Mereka boleh memilih untuk menerimanya, jadi mereka perlu membawa ia ke peringkat ahli lembaga mereka masing-masing.

"Sebab itu kita bercakap tentang penjawat awam negeri 'dolok' (terlebih dahulu). PBT dan badan berkanun boleh memutuskan sendiri.

"Mereka boleh membawa perkara ini untuk dipertimbangkan oleh ahli lembaga mereka dan ia terpulang kepada kemampuan mereka," jelasnya.

Pada persidangan DUN 13 November lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan bantuan khas kewangan dua bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam negeri.

Katannya, ia akan dibayar pada hujung tahun ini sebagai menghargai sumbangan mereka yang bekerja gigih.

"Kerajaan GPS amat prihatin dengan kebajikan kakitangan Perkhidmtan Awam Negeri Sarawak khususnya dalam menghadapi beban kewangan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat," ujarnya.
 

Advertisement