Anda di sini

AirAsia dinobat Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia

 Suhaila (tengah) menerima Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia bersama Presiden dan Pengasas World Travel Awards, Graham Cooke (tengah kanan), disertai kru kabin AirAsia di Muscat baru-baru ini.
BERKAT KEGIGIHAN: Suhaila (tengah) menerima Anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia bersama Presiden dan Pengasas World Travel Awards, Graham Cooke (tengah kanan), disertai kru kabin AirAsia di Muscat baru-baru ini.

KUCHING: Syarikat penerbangan kos rendah, AirAsia telah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Dunia untuk kali ketujuh pada Pusingan Akhir World Travel Awards (WTA) di Muscat, Oman baru-baru ini.

Menurut kenyataan akhbarnya semalam, AirAsia mengungguli kategori tersebut setelah menerima undian tertinggi daripada para pelancong dan pemain industri mengatasi syarikat penerbangan lain.

Selain itu, syarikat penerbangan itu turut membawa pulang anugerah Kru Kabin Terkemuka Dunia bagi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah untuk kali ketiga berturut-turut.

Sebagai sebuah pengiktirafan bagi sumbangan kru kabin, syarikat penerbangan itu diwakili oleh Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia Suhaila Hassan, untuk menerima kedua-dua anugerah tersebut bagi pihak AirAsia.

Suhaila telah berkhidmat dengan AirAsia lebih dari 20 tahun, bermula sebagai seorang kru kabin dan kini memimpin hampir 6,000 kru kabin di seluruh Kumpulan AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata pihaknya teruja kerana diiktiraf sebagai juara dunia sekali lagi oleh pengamal industri dan para pelancong.

Anugerah-anugerah tersebut menurutnya, bukti hasil kepada dedikasi pihaknya di dalam kecemerlangan perjalanan udara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Allstars dan kru kabin, yang terus memberikan pengalaman yang terbaik untuk para tetamu.

“Pengiktirafan ini sejajar dengan komitmen baharu kami untuk menjadi lebih daripada sebuah syarikat penerbangan, dengan menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan di airasia.com untuk memberikan nilai yang lebih baik kepada para tetamu dan memenuhi jangkaan tetamu yang semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Suhaila pula berkata dua dekad lalu, AirAsia hanyalah sebuah syarikat penerbangan kecil dengan hanya 30 kru kabin dan dua pesawat yang beroperasi ke laluan domestik dalam Malaysia.

Kini, syarikat kami telah berkembang dengan lebih daripada 6,000 kru kabin dari seluruh dunia, termasuk Australia, Brazil, Zambia dan AS, ujarnya.

“Kami kini menerbangkan lebih 90 juta orang tetamu setiap tahun. Perjalanan syarikat ini benar-benar mengagumkan, tetapi apa yang luar biasa adalah apabila rakan-rakan Allstar saya masih mengekalkan semangat yang sama untuk memberikan perkhidmatan terbaik seperti dahulu, dan kami amat teruja serta berasa rendah diri kerana para tetamu dan rakan-rakan kami mengiktiraf usaha ini,” jelasnya lagi.

Pengasas World Travel Awards Graham E Cooke berkata, AirAsia akan terus menetapkan penanda aras bagi syarikat penerbangan tambang rendah di Asia dan di luar rantau ini.

Dedikasi mereka untuk meningkatkan perkhidmatannya tidak dapat ditandingi dan saya berbesar hati kerana mereka telah diiktiraf oleh para pemain industri dan orang awam sebagai ‘Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2019’ dan ‘Kru Kabin Terkemuka Dunia bagi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah’.

Anugerah tahunan World Travel Awards yang ke-26 diiktiraf secara global sebagai salah satu program yang paling berprestij, komprehensif dan diingini oleh industri global dan pelancongan.

Ditubuhkan pada tahun 1993, anugerah tersebut telah dipilih oleh profesional perjalanan dan pelancongan dan pengguna di seluruh dunia, mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan di seluruh sektor utama industri perjalanan, pelancongan dan hospitaliti.

Sebelum ini, pihak AirAsia dan AirAsia X Malaysia telah diumumkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia/Pasifik di Anugerah Kecemerlangan Syarikat Penerbangan oleh AirlineRatings.com.

Pada bulan Oktober lepas, AirAsia telah membawa pulang anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia dan Kru Kabin Terbaik bagi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Asia daripada anugerah World Travel Awards edisi Asia dan Oceania yang berlangsung di Phu Quoc, Vietnam.